Kertas siasatan kes ‘Inspektor Sheila’ telah dilengkapkan, rujuk DPP dalam masa terdekat

Iklan
Fadil

KUALA LUMPUR - Polis sudah melengkapkan kertas siasatan terhadap wanita dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' yang didakwa memperlekeh anggota polis yang melakukan pemeriksaan ke atas seorang lelaki warga asing yang memandu tanpa lesen di Jalan Ipoh, di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kertas siasatan berkaitan kes itu akan diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Kita telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat DPP bagi cadangan pertuduhan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Selawat Dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur di Masjid Al-Sultan Abdullah Presint Merdeka 118, di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, media melaporkan dalam kejadian pada 9.30 malam itu, wanita berkenaan telah menuduh anggota yang bertugas tidak mengetahui undang-undang serta memperlekeh tindakan pihak polis selain mendakwa anggota terbabit mengugut warga asing tersebut.

Iklan

Anggota polis berkenaan telah membuat laporan polis selepas kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghina.

Terdahulu, tular video yang dimuat naik wanita itu di laman sosial mendakwa anggota polis berkenaan mengugut seorang warga Pakistan yang menunggang motosikal.

Iklan

Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berhubung beberapa kes antaranya menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.