SHAH ALAM - Mi Le Garden menafikan dakwaan bahawa bil air bulanan pusat penginapan mereka di Sekinchan pernah sebanyak RM36 sebulan.
Mi Le Garden memaklumkan, mereka sentiasa menjelaskan bayaran bil air dengan jumlah sebenar mencecah ribuan ringgit.
“Untuk makluman, syarikat kami sentiasa menjelaskan bayaran bil air tepat pada masanya setiap bulan dengan jumlah bayaran sebenar mencecah ribuan ringgit.
“Isu yang dibangkitkan berpunca daripada masalah teknikal dan bukan disebabkan sebarang kecuaian atau tindakan disengajakan oleh pihak kami,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan sebuah resort mewah di Sekinchan didapati terlibat dalam aktiviti curi air dipercayai sejak premis itu memulakan operasi setahun lalu.
Dalam operasi yang dilakuan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama Air Selangor mendapati terdapat penyambungan paip haram sepanjang lebih kurang 600 meter dari paip utama yang disalur masuk ke dalam resort berkenaan.
Pengarah Komunikasi Strategik SPAN, TS Mohd Fazil Ismail berkata, pemilik premis akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) pindaan 2025 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Premis itu juga katanya, didapati melakukan kesalahan memasang pam air selepas meter bagi menarik tekanan air untuk mengisi tangki simpanan, yang jelas melanggar Kaedah 45, Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014.
Sepatutnya beliau berkata, pam air tersebut perlu dipasang selepas tangki simpanan dan pemilik premis memaklumkan tidak mengetahui kesalahan berkenaan.