SHAH ALAM – Tindakan kerajaan negeri memansuhkan status Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi memberi laluan kepada aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) disifatkan tidak wajar kerana berisiko tinggi menjejaskan alam sekitar dalam jangka panjang.
Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, langkah tersebut bukan sahaja menyebabkan kemusnahan kekal habitat flora dan fauna, malah berpotensi mencemarkan sumber air serta bercanggah dengan objektif Dasar Perhutanan Malaysia (DPM) 2021.
Menurutnya, sejarah menunjukkan kegiatan perlombongan dan pertanian telah lama memberi kesan terhadap kawasan hutan di Tanah Melayu sejak era perlombongan bijih timah selepas penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB).
“HSK pertama ditubuhkan pada 14 Januari 1898 iaitu Hutan Simpan Sungei Buloh di Selangor dan Hutan Simpan Swettenham Road di Taiping, Perak.
"Namun, banyak kawasan yang diwujudkan oleh pihak British kemudiannya dimansuhkan bagi tujuan perlombongan dan pertanian,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, tindakan memansuhkan HSK, termasuk Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 yang terletak dalam rangkaian Central Forest Spine (CFS) tidak seharusnya dilakukan kerana kesannya lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat.
Meor Razak menambah, berdasarkan Seksyen 2 Akta Perhutanan Negara 1984, sumber mineral seperti REE tidak ditafsirkan sebagai hasil hutan.
Oleh yang demikian katanya, sebarang cadangan untuk meminda tafsiran tersebut bagi mengiktiraf REE sebagai hasil hutan dilihat boleh membuka ruang kepada manipulasi dan eksploitasi aktiviti pembalakan.
“Kerajaan negeri tidak boleh berkompromi dengan sebarang bentuk perlombongan REE, terutamanya di kawasan KSAS Tahap 1 kerana tiada kaedah yang benar-benar berkesan untuk mengawal aktiviti tersebut,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa teknologi in-situ leaching (ISL) yang digunakan dalam perlombongan REE masih belum terbukti selamat dengan merujuk kepada insiden perubahan warna air di Sungai Perak yang didakwa berpunca daripada aktiviti perlombongan itu.
Meor Razak berkat, Akta Perhutanan Negara 1984 juga tidak perlu dipinda bagi mentafsir sumber mineral REE sebagai hasil hutan kerana undang-undang sedia ada sudah membenarkan pengambilan sumber mineral lain seperti bahan batuan di kawasan lombong atau kuari dalam HSK.
“Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bukanlah mekanisme terbaik bagi menangani impak sebenar daripada perlombongan REE kerana ia hanya bertujuan meminimumkan kesan, bukan mencegah kemusnahan,” katanya.
Jelas beliau, walaupun laporan EIA mengandungi Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan langkah mitigasi, ia tidak mampu melindungi habitat flora dan fauna daripada kemusnahan yang tidak dapat dipulihkan.
Dalam masa sama, Meor Razak turut melahirkan kebimbangan terhadap tahap penguatkuasaan agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang didakwa berdepan kekangan dari segi kekurangan tenaga kerja untuk memantau kegiatan perlombongan REE dan mineral lain secara berkesan.