Peluang terbaik rakyat Pahang kemuka pandangan

Iklan
Zamri

SHAH ALAM - Sinar Harian menjemput rakyat Pahang untuk hadir ke program Town Hall Rakyat yang menampilkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Dato' Sri Abdul Manan, Kuantan pada Selasa depan.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, ini merupakan kali pertama Town Hall Rakyat diadakan di luar Dewan Karangkraf di Shah Alam dan menampilkan tetamu istimewanya buat kali kedua di pentas sama.

Iklan
Iklan

Katanya, Wan Rosdy tampil buat kali pertama di pentas Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian pada awal Januari lalu dengan menyaksikan lebih 300 tetamu hadir memenuhi Dewan Karangkraf.

“Sambutan kali pertama itu sangat memberangsangkan sehingga ada tetamu yang terpaksa berdiri di belakang dewan untuk menyaksikannya dan ramai penonton mengambil peluang bertanyakan pelbagai soalan kepada menteri besar.

Iklan

“Kali ini atas permintaan orang Pahang yang tidak dapat hadir pada pentas Town Hall Rakyat kali pertama dulu, pada Selasa ini kami membawakan Town Hall Rakyat di Kuantan,” katanya.

Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Besar Pahang akan diadakan pada jam 8 malam 11 November ini.

Iklan

Tambah Zamri, Sinar Harian amat berbesar hati di atas kesudian Wan Rosdy untuk tampil kali kedua di Town Hall Rakyat yang mana ini merupakan kali pertama mana-mana menteri besar atau menteri berbuat demikian di pentas bicarawara bersama rakyat ini.

“Jika kali pertama dahulu menteri besar membentangkan kad laporan prestasi kerajaan negeri tahun 2024 dan perancangan tahun 2025, pentas kedua Selasa ini pastinya peluang terbaik untuk beliau menghuraikan pula segala kejayaan dan cabaran diharungi kerajaan negeri pada tahun 2025.

“Tidak ketinggalan town hall ini nanti mungkin menjadi peluang kepada rakyat melontarkan pandangan dan buah pendapat menjelang Belanjawan Negeri Pahang yang akan dibentangkan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai program Town Hall Rakyat yang dianjurkan Sinar Harian, Zamri berkata, ia merupakan antara program atas talian yang mendapat tontonan dan pilihan pelayar yang disiarkan secara langsung.

Sebelum ini antara menteri yang pernah menjadi panel Town Hall Rakyat ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.