PUTRAJAYA – Keputusan sama ada Syarikat Semantan Estate Sdn Bhd berjaya mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap pemindahan milik tanah seluas 106.542 hektar di Duta Enclave atau sebelum ini dikenali sebagai Jalan Duta kepada kerajaan, akan diketahui di Mahkamah Persekutuan di sini pada 13 November ini.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili Semantan Estate dan kerajaan.
Hasnah berkata, panel hakim memerlukan masa untuk meneliti hujahan kedua-dua pihak, sebelum membuat keputusan.
“Mahkamah menetapkan Khamis minggu depan untuk keputusan ini,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Hanipah Farikullah dan Hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Semasa hujahan, peguam, Datuk Dr Cyrus V Das yang mewakili syarikat itu berkata, Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan supaya tanah itu dipindah milik telah melebihi kuasanya.
Menurutnya, ia termasuk inisiatif sendiri berhubung nilai pampasan yang patut diterima oleh anak guamnya.
Sedangkan katanya, tiada permohonan pampasan dibuat dan Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengubah perintah Mahkamah Tinggi.
Lebih-lebih lagi beliau berkata, keputusan yang menyebelahi syarikat terbabit telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam dua prosiding terdahulu.
“Keputusan itu telah mengesahkan bahawa kerajaan telah menceroboh tanah berkenaan secara haram sekali gus melanggar Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
“Undang-undang sebelum Merdeka seperti Seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Seksyen 8(3) Akta Relief Khusus (SRA) sebagai tidak berperlembagaan jika digunakan untuk menghalang pemulihan tanah,” katanya.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan menghujahkan bahawa Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang tepat.
Beliau berkata, permohonan Semantan Estate wajar ditolak kerana persoalan undang-undang yang dinyatakan bukannya suatu isu yang berpunca daripada fakta atau sejarah unik.
Selain itu katanya, prinsip undang-undang berkaitan Seksyen 29(1)(b) akta itu sebagai ‘mandamus’ iaitu perintah untuk memaksa dan pampasan di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan telah pun diselesaikan dengan jelas serta digunakan secara konsisten oleh Mahkamah Persekutuan.
“Oleh itu, tiada sebarang percanggahan kehakiman atau ketidakselarasan dalam keputusan terdahulu yang memerlukan penjelasan lanjut oleh mahkamah ini.
“Kerajaan turut menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan adalah khusus bagi kes Semantan Estate, tidak menetapkan atau mengubah sebarang prinsip undang-undang umum.
“Oleh itu, soalan-soalan yang dibangkitkan tidak boleh dianggap sebagai persoalan penting untuk diputuskan,” katanya.
Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 106.542 hektar itu yang diambil alih secara tidak sah serta melakukan pencerobohan.
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 di peringkat Mahkamah Rayuan sementara pada 21 November tahun sama, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan itu.
Pada 7 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memerintahkan kerajaan memindahkan tanah berkenaan kepada Semantan Estate selepas membenarkan saman pemulanya terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.
Tanah terbabit, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Ahmad Shahrir memerintahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan bermula 7 Ogos 2024 selain memerintahkan kerajaan membayar kos RM50,000.
Hakim itu turut memerintahkan kerajaan supaya mendaftarkan Semantan Estate sebagai pemilik tanah, melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.
Pada 24 Jun, tanah berkenaan beralih menjadi milik kerajaan apabila Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, panel tiga hakim mengarahkan kerajaan membayar pampasan kepada syarikat berkenaan dalam tempoh 90 hari.
Mahkamah berkata, nilai pampasan perlu ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi dengan bantuan pakar berdasarkan nilai pasaran pada tahun 1956 iaitu tarikh kerajaan memperoleh tanah itu.
Artikel Berkaitan:
https://www.sinarharian.com.my/article/745697/berita/semasa/mahkamah-benarkan-semantan-estate-tangguh-keputusan-isu-tanah-jalan-duta
https://www.sinarharian.com.my/article/735314/berita/semasa/tanah-di-jalan-duta-kekal-milik-kerajaan