SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi Yayasan Sultan Abdullah berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM60,000 kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) pada acara Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports di Stadium Merdeka, semalam.
Selain YAKEB, baginda juga turut berkenan menyampaikan RM40,000 kepada Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri dan Kebangsaan sebagai tanda keprihatinan serta penghargaan terhadap jasa para wira sukan tanah air.
Iklan
Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Datuk Christopher Raj berkata, penganjuran program Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports sebagai satu kejayaan bermakna.
"Ia menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan legenda sukan negara, di samping menyatukan masyarakat menerusi semangat kesejahteraan dan warisan.
"Kami amat bersyukur atas kejayaan penganjuran ini dan berharap bekas atlet negara merasai penghargaan sewajarnya atas sumbangan mereka.
"Keberangkatan Baginda berdua menjadikan majlis ini lebih istimewa kerana mencerminkan tanda terima kasih mendalam terhadap wira sukan negara," katanya.
Inisiatif diraja yang berlangsung di Stadium Merdeka itu dianggap sebagai peringatan bermakna tentang semangat perpaduan, kesejahteraan dan keunggulan sukan yang menjadi kebanggaan negara serta lambang perjalanan kolektif rakyat Malaysia dalam semangat kebersamaan, selain cinta akan tanah air. - BERNAMA