KOTA BHARU - Polis Kelantan merobohkan dua lagi pangkalan haram di Tanah Merah dalam usaha mencegah jenayah rentas sempadan di Sungai Golok yang terletak bersebelahan dengan Thailand.
Pangkalan haram yang dikenali sebagai Dua Riya dan Nusi itu dirobohkan pada Selasa menerusi kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Tanah dan Galian serta pihak berkuasa tempatan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini sudah empat pangkalan haram yang telah dirobohkan termasuk MCA dan Gergaji di Rantau Panjang.
"Kerja-kerja merobohkan pangkalan haram ini akan terus dilakukan dari masa ke masa," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Menurut beliau, proses itu dijangka mengambil masa selama dua bulan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan aktiviti perobohan kesemua 223 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga ke Jeli bermula pada 28 Oktober lalu.
Perobohan tersebut dijangka akan mengambil masa dalam tempoh dua bulan dan dilakukan secara berperingkat-peringkat.