BAGAN DATUK – Sekurang-kurangnya lima rumah penduduk di Kampung Teluk Penikam di sini dilanda banjir selepas benteng penahan air laut pecah ketika air pasang awal pagi Khamis.
Kejadian berlaku sekitar jam 3.40 pagi apabila paras air laut naik mendadak sehingga menyebabkan benteng berkenaan gagal menampung tekanan air, sekali gus mengakibatkan limpahan ke kawasan penempatan penduduk.
Menurut Sekretariat Bencana Daerah Bagan Datuk, air laut melimpah ke dalam rumah penduduk dengan paras dianggarkan antara o.3 hingga 0.6 meter menyebabkan perabot dan barangan rumah rosak.
“Setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan. Beberapa rumah dikenal pasti terjejas.
"Sebahagian struktur lantai dan dinding rumah terlibat mengalami kelembapan akibat dimasuki air, namun kerosakan sebenar rumah masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Susulan kejadian itu, semua enam mangsa terlibat telah diarahkan berpindah sementara ke Dewan Orang Ramai Perumahan Awam Bagan Datuk bagi membolehkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan kerja-kerja pembaikan benteng yang pecah.
Sekretariat memaklumkan, pemantauan berterusan dilakukan anggota Balai Polis Bagan Datuk dengan kerjasama agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menilai kerosakan serta menyalurkan bantuan awal kepada mangsa.