PASPORT Malaysia kini berada di tangga ketiga dunia berdasarkan Ranking Pasport Index 2025, satu pencapaian membanggakan yang memperlihatkan kekuatan diplomasi dan kredibiliti negara di peringkat antarabangsa.
Berdasarkan data menerusi www.passportindex.org, pasport Emiriah Arab Bersatu (UAE) berada di kedudukan pertama Passport Power Rank, diikuti oleh Singapura dan Sepanyol di tempat kedua.
Malaysia berada di kedudukan ketiga bersama-sama 15 negara lain iaitu Belgium, Perancis, Jerman, Belanda, Finland, Luxembourg, Itali, Denmark, Portugal, Switzerland, Greece, Austria, Norway, Ireland dan Korea Selatan.
Kedudukan baharu terbabit menjadikan pasport Malaysia kedua terkuat di Asia Tenggara selepas Singapura, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang berpengaruh dan diyakini dalam sistem keselamatan serta urus tadbir perjalanan antarabangsa.
Menariknya, hanya sebulan lalu Malaysia berada di tangga ke-12 dunia.
Lonjakan sembilan anak tangga itu menunjukkan peningkatan mendadak yang berpunca daripada usaha berterusan kerajaan memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan dan hubungan diplomatik dengan negara luar.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam hantaran di laman sosial memaklumkan pencapaian berkenaan mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan antarabangsa terhadap keselamatan dokumen perjalanan Malaysia yang diyakini di mata dunia.
Menurut hantaran tersebut lagi, rakyat Malaysia kini menikmati kemudahan perjalanan tanpa visa ke 174 buah negara di seluruh dunia.
Untuk rakyat Malaysia, kelebihan terbabit pastinya membuka lebih banyak peluang sama ada untuk melancong, belajar, bekerja atau berurus niaga.
Dalam konteks ekonomi, peningkatan kuasa pasport Malaysia turut menyokong pertumbuhan perniagaan global dan pelaburan luar.
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa kejayaan itu hadir bersama tanggungjawab besar.
Setiap rakyat Malaysia perlu menjaga imej negara ketika berada di luar, menghormati undang-undang tempatan dan mempamerkan sikap profesional serta beretika agar kepercayaan antarabangsa terhadap pasport Malaysia terus kekal.
Walaupun kedudukan itu boleh berubah mengikut dasar visa negara lain, Malaysia kini telah membuktikan kemampuannya menjadi kuasa serantau dalam aspek mobiliti dan diplomasi antarabangsa.