MBAS terima 20,000 maklum balas, bantahan penilaian semula cukai taksiran

Iklan
Abdul Gafar (tiga dari kanan) dan Muhammad Amri (dua dari kanan) meluangkan masa berjumpa penduduk yang hadir ke Bilik Gerakan Penilaian Cukai Taksiran MBAS pada Rabu. Foto MBAS

ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menerima lebih 20,000 maklum balas dan bantahan daripada pemilik pegangan berhubung penilaian semula cukai taksiran di bawah pentadbirannya.

Jumlah itu termasuk kira-kira 3,000 bantahan yang diserahkan secara fizikal oleh Dewan Perhimpunan Cina Kedah dan Persatuan Kebajikan Orang-Orang Tionghua Simpang Empat kepada pihak MBAS pada hari terakhir sesi semakan dan bantahan yang berlangsung di Bangunan UTC Kedah pada Rabu.

Iklan
Iklan

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, pihaknya amat menghargai keprihatinan dan kerjasama warga bandar raya yang tampil memberikan pandangan serta maklum balas terhadap proses penilaian semula cukai pintu yang tidak pernah dikemas kini sejak 32 tahun lalu.

“Setakat jam 10 pagi tadi, kami telah menerima kira-kira 17,000 bantahan melalui sistem, dan dengan tambahan 3,000 daripada persatuan terbabit, jumlah keseluruhan kini mencecah 20,000.

Iklan

“Saya lebih suka menyifatkan ini sebagai maklum balas daripada penduduk, bukan sekadar bantahan. Ini menunjukkan kesedaran sivik yang tinggi dalam kalangan pemilik pegangan,” katanya selepas sesi penyerahan bantahan oleh Dewan Perhimpunan Cina Kedah dan Persatuan Kebajikan Orang-Orang Tionghua Simpang Empat di sini pada Rabu.

Menurut beliau, proses semakan dan bantahan yang berakhir pada Rabu akan disusuli dengan sesi pendengaran awam yang akan dijalankan secara berperingkat mengikut kes.

Iklan

“Setiap maklum balas akan diteliti secara telus dan profesional sebelum dibawa ke peringkat Pihak Berkuasa Negeri untuk pertimbangan lanjut,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Muhammad Amri Wahab serta Ahli-Ahli Majlis MBAS turut meluangkan masa berjumpa penduduk yang hadir ke Bilik Gerakan Penilaian Cukai Taksiran MBAS.

MBAS sebelum ini memaklumkan bahawa penilaian semula cukai taksiran adalah langkah perlu bagi memastikan kutipan hasil selaras dengan perkembangan semasa dan nilai hartanah terkini di kawasan pentadbiran bandar raya.

Dalam pada itu, Abdul Gafar menegaskan bahawa pihaknya sentiasa terbuka menerima pandangan rakyat dan akan memastikan setiap suara diberi perhatian sewajarnya.

“Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sekarang adalah masa untuk memberi pandangan. Kami di MBAS sentiasa mengikuti perkembangan ini setiap hari dan bersedia mendengar,” katanya lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan gesaan Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah agar MBAS menyemak semula kadar baharu cukai taksiran atau cukai pintu yang didakwa naik sehingga melebihi 200 peratus bermula tahun 2026.

Ia susulan kebimbangan pelbagai pihak terhadap kesan langsung kepada rakyat serta peniaga tempatan.