4,443 calon duduki STAM bermula 12 November

Iklan
Peperiksaan akan dijalankan di 135 pusat peperiksaan dengan 852 petugas dilantik.

PUTRAJAYA - Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 akan berlangsung dari 12 hingga 24 November ini melibatkan seramai 4,443 calon di seluruh negara, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam kenyataan pada Rabu, KPM memaklumkan peperiksaan berkenaan akan dijalankan di 135 pusat peperiksaan dengan seramai 852 petugas dilantik bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.

Iklan
Iklan

KPM menasihatkan semua calon supaya merujuk jadual waktu peperiksaan STAM 2025 bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod serta nama kertas peperiksaan, selain mematuhi semua arahan yang ditetapkan.

Jadual waktu peperiksaan STAM 2025 boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my.

Iklan

KPM turut mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan bagi memastikan kelancaran peperiksaan.

Menurut KPM, pihaknya sentiasa cakna terhadap keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI) sepanjang peperiksaan STAM 2025 berlangsung.

Iklan

Kementerian itu memaklumkan langkah kesiapsiagaan dan mekanisme tindakan sewajarnya telah disediakan termasuk kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan peperiksaan dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

KPM menasihatkan calon yang terkesan akibat bencana supaya segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing, atau menghubungi bilik gerakan LP atau JPN. - Bernama