GUA MUSANG - Seorang wanita warga emas maut apabila kereta Proton Iriz yang dinaiki bersama suami bertembung dengan sebuah treler di kilometer 12 Gua Musang - Kuala Lipis di sini pada Rabu.
Kejadian pada jam 3.45 pagi itu berlaku semasa mangsa, Mek Dah Ibrahim, 69, merupakan isteri kepada pemandu kereta terbabit berada di tempat duduk belakang bersama seorang lagi penumpang dalam perjalanan pulang ke Kok Lanas, Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah treler jenis Scania yang dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah Gua Musang menghala ke Padang Tengku Kuala Lipis, Pahang telah bertembung dengan kereta terbabit dari arah hadapan.
"Akibat dari pertembungan tersebut, kereta dinaiki mangsa terbabas ke bahu kiri jalan.
"Kesemua pemandu dan penumpang kereta itu dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan awal," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, wanita terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di hospital, manakala suaminya dan penumpang yang lain hanya mengalami kecederaan ringan.
Ujarnya, jenazah telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian terbabit boleh menghubungi talian 09-9121222," katanya.