Onn Hafiz perlu tampil jelaskan krisis pencemaran Sungai Johor - Armada Johor

Iklan
Armada Johor desak Onn Hafiz mengadakan sidang akhbar segera bagi menjelaskan isu pencemaran Sungai Johor yang menjejaskan bekalan air dan pendapatan nelayan.

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi disaran mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan perkembangan terkini serta langkah penyelesaian dalam isu pencemaran Sungai Johor yang berlaku ketika ini.

Menurut Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) Johor, Alias Rasman, isu pencemaran sungai tersebut dilihat amat serius sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar negeri itu.

Iklan
Iklan

“Ya, bekalan air telah mula pulih, tetapi rakyat masih kecewa kerana kerajaan negeri dilihat gagal memberikan penjelasan tentang apa yang sebenarnya berlaku dan apa tindakan seterusnya.

“Media pula tiap-tiap hari melaporkan berita tentang pencemaran sungai ini, daripada keluhan rakyat, di sekolah, kerugian nelayan hinggalah gangguan dalam pengurusan jenazah.

Iklan

“Ini menunjukkan kesan daripada pencemaran,” tulisnya di laman Facebook miliknya pada Rabu.

Pencemaran Sungai Johor yang berlaku sejak Jumaat lalu menjejaskan bekalan air melibatkan 1.8 juta isi rumah dan pendapatan kira-kira 150 nelayan.

Iklan

Pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor disedari penduduk sekitar jam 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata, paras kekeruhan air meningkat kepada 37,400 unit Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.

Justeru, kerajaan negeri mengambil langkah segera dengan meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi mencairkan lumpur dan mengurangkan tahap kekeruhan di Sungai Johor.

Bagaimanapun, pada Selasa, Mohamad Fazli dilaporkan berkata, kadar pemulihan bekalan air di beberapa kawasan di negeri ini sudah mencapai 94 peratus setakat jam 5 petang semalam.

Beliau turut menjelaskan bahawa bekalan air secara keseluruhan dijangka pulih dalam tempoh antara lapan hingga 12 jam lagi.

Sementara itu, Alias menambah bahawa Onn Hafiz sepatutnya mencontohi bapa saudaranya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang merupakan bekas Menteri Pertahanan, semasa mengendalikan sidang akhbar harian berkaitan perkembangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang pada Mac 2014.

Jelasnya, cara Hishammuddin mengendalikan sidang akhbar ketika krisis tersebut wajar dijadikan teladan.

“Onn Hafiz patut belajar satu dua perkara tentang bagaimana bapa saudaranya mengendalikan sidang akhbar dengan tenang, telus dan tegas dalam komunikasi.

“Kepimpinan dalam masa krisis memerlukan keberanian dan kejelasan,” tulisnya lagi.