KULIM - Tragedi menyayat hati menimpa sebuah keluarga apabila seorang wanita dan anak perempuannya berusia empat tahun ditemukan tidak bernyawa dalam sebuah rumah teres di sebuah taman di daerah ini pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 11.05 malam yang memaklumkan terdapat seorang wanita berusia 30 tahun tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.
“Sepasukan anggota dari Balai Polis Kulim Hi-Tech telah dikerahkan ke tempat kejadian dan mendapati dua beranak itu sudah meninggal dunia di bilik utama rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, kejadian terbongkar selepas seorang jiran terdengar jeritan seorang kanak-kanak lelaki dari dalam rumah berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan dipercayai bertindak demikian akibat tekanan emosi selepas kecewa dengan teman lelakinya yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain.
Lebih memilukan, anak lelaki si mati yang berusia tujuh tahun turut menjadi sasaran cubaan bunuh.
“Mangsa mengalami kesan melecet pada leher dan sakit pada bahagian rahang. Dia kini dirawat di Hospital Kulim,” ujar beliau.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk atau unsur pencerobohan di lokasi kejadian.
“Mayat kedua-dua si mati dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.
Zulkifli berkata, pihaknya turut menemui dua nota tulisan tangan yang dipercayai ditulis oleh si mati, menyatakan permohonan maaf dan luahan hatinya.
“Antara kandungan nota itu menyebut 'Saya tak boleh tahan sakit hati. Mereka tak boleh tinggal dengan sesiapa pun, pasal tu saya terpaksa bawa mereka berdua sekali'.
“Turut ditemukan di ruang tamu ialah MyKad ketiga-tiga beranak dan kad ATM milik si mati yang diletakkan berdekatan dengan nota tersebut,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan cubaan membunuh.