KELANA JAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar dua gudang persendirian di Lembah Klang yang menjadi tempat simpanan minuman keras dan rokok seludup bernilai kira-kira RM11.1 juta.
Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, serbuan pertama di sebuah gudang di Taman Prima Tropika, Seri Kembangan pada 19 Ogos lalu berjaya menggagalkan kegiatan sindiket pembekalan dan pengedaran minuman keras disyaki tidak berkastam.
"Pemeriksaan menemui 5,787 liter minuman keras import pelbagai jenama melibatkan nilai dan cukai dianggarkan berjumlah RM921,769.
"Tiga warga asing telah ditahan, selain sitaan sebuah lori lima tan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Kuala Lumpur pada Rabu.
Kes kedua pula, kata Wan Norizan, seorang lelaki tempatan merupakan penjaga ditahan dalam serbuan gudang persendirian di Jalan Subang Permai, Shah Alam pada 29 September lalu.
Menurutnya, pemeriksaan menemukan 11,600,000 batang rokok putih import pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM2.32 juta dan cukai serta duti kira-kira RM7.88 juta.
Tambah beliau, siasatan mendapati barangan bagi kedua-dua kes tersebut diedarkan di sekitar Lembah Klang.
"Modus operandi kes minuman keras adalah menjalankan pembungkusan semula dan pembekalan pukal di kawasan perindustrian dan pembinaan," ujarnya.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah serta kenderaan dengan menyalurkan maklumat di talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.