Kehilangan bekas tentera hampir setahun kekal misteri

Iklan
Roslina menunjukkan gambar ayahnya dilaporkan hilang sejak Disember lalu.

REMBAU - Keluarga bekas tentera, Mohd Mahat Said, 79, tidak putus asa dan terus mengharapkan keajaiban supaya warga emas yang dilaporkan hilang sejak Disember lalu itu ditemui dalam keadaan selamat.

Kehilangan Mohd Mahat masih menjadi misteri selepas mangsa yang tidak mampu berjalan akibat kemalangan pada tahun 2022 tersebut dilaporkan hilang dari rumahnya di Batu 4 Kampung Air Melintang sejak 16 Disember 2024.

Iklan
Iklan

Anaknya, Roslina Mohd Mahat, 40, berkata, pelbagai ikhtiar telah dilakukan oleh keluarga untuk mengesan bapanya, namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan.

“Kami dah puas cari tapi sehingga kini tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.

Iklan

“Kami tidak putus doa, buat solat hajat dan bacaan Yasin. Kami sekeluarga sentiasa berharap semoga ada keajaiban agar ayah kami dapat dijumpai,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Mahat

Iklan

Roslina menjelaskan, sebelum kejadian, ibunya sedang berniaga nasi lemak di bawah rumah seperti biasa. 

“Selepas selesai berniaga, suami saya bantu bawa ibu dan barang jualan naik ke atas rumah. Bila pintu rumah dibuka, ayah dah tak ada. Hanya tinggal kerusi roda saja.

“Ayah menggunakan kerusi roda selepas tidak boleh berjalan akibat kemalangan,” katanya.

Wanita itu berkata, kemungkinan ayahnya dibawa keluar oleh individu lain agak tipis kerana akan disedari ibunya yang berniaga berhampiran rumah.

“Kami rasa mustahil ada orang ambil ayah sebab mak memang berniaga betul-betul di bawah rumah. Kalau ada pergerakan mencurigakan, pasti dia nampak.

Mohd Mahat yang dilaporkan hilang sejak Disember lalu.

“Laporan polis telah dibuat sejurus kehilangan disedari, namun tiada saksi dalam kalangan jiran yang melihat apa-apa kejadian pelik atau meragukan sebelum insiden itu berlaku,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan berita kehilangan mangsa dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan penyelamat sejurus laporan diterima.

SAR menggunakan bantuan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, selain Unit K9 pasukan Bomba dan Penyelamat.

Operasi dijalankan di sekitar rumah sehingga ke kawasan sungai, namun setakat ini masih tidak menemui sebarang petunjuk.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan tersebut diminta menghubungi Roslina di talian 012-6035785 atau melaporkannya kepada balai polis berhampiran.