Kastam rampas 53 kontena besi, skrap aluminium bernilai lebih RM9 juta

Iklan
Wan Norizan (tengah), Gerald (tiga dari kanan) dan Suhaimi (dua dari kanan) menunjukkan paparan gambar kontena berisi besi dan skrap yang dirampas di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat, Klang.

KELANA JAYA – Cubaan menyeludup masuk besi dan skrap aluminium melalui Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara di sini terbongkar selepas 53 kontena berisi muatan berkenaan dirampas pihak berkuasa.

Tindakan itu diambil dalam operasi yang dijalankan antara 28 Ogos hingga 5 September lalu oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan SIRIM Berhad.

Iklan
Iklan

Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, pemeriksaan mendapati 35 kontena mengandungi struktur keluli (steel structure) untuk kegunaan industri pembinaan, manakala 18 kontena lagi mengandungi skrap aluminium dan logam.

Menurut beliau, jumlah berat keseluruhan muatan ialah 956,686 kilogram (kg) dengan nilai dianggarkan RM9,028,888, termasuk duti dan cukai import.

Iklan
Wan Norizan (dua dari kiri) menunjukkan kontena yang ditahan mengandungi besi dan skrap.

“Pengimportan besi jenis steel structure bagi kegunaan industri pembinaan memerlukan Sijil Perakuan (COA) daripada CIDB, manakala pengimportan skrap aluminium serta logam memerlukan kelulusan SIRIM.

“Siasatan awal mendapati kontena terbabit dipercayai melibatkan sebuah syarikat dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Kuala Lumpur, hari ini.

Iklan

Turut hadir, Pengarah CIDB Kuala Lumpur, Datuk Dr Ts Gerald Sundaraj.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Sektor Pendaftaran & Akreditasi CIDB, Suhaimi Mansor, berkata kemasukan besi bagi tujuan industri tanpa kelulusan CIDB memberi risiko dari aspek kualiti dan keselamatan.

“Kualitinya dibimbangi berada di bawah standard yang dibenarkan dan boleh membahayakan orang awam,” ujarnya.