Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang, rumah dan kereta hangus terbakar

Iklan
Tiga beranak hanya mampu melihat kereta dan rumah sewa yang didiami mereka hangus depan mata dalam kejadian di Kampung Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu pada pagi Rabu. - Foto: JBPM

KOTA BHARU – Tiga beranak hanya mampu melihat kereta dan rumah sewa yang didiami hangus di depan mata dalam kejadian di Kampung Wakaf Mek Zainab di sini, pagi Rabu.

Menurut Wan Azita Wan Azmi, 33, lebih menyedihkan lagi, kejadian terbabit berlaku hanya beberapa jam selepas menyambut hari lahir ayahnya, Wan Azmi Wan Ahmad yang ke-70 tahun.

Iklan
Iklan

"Kereta yang terbakar itu milik ayah. Ia adalah kereta terpakai yang dibeli ayah untuk kegunaan hariannya bersama ibu.

"Semasa kejadian, saya hanya sempat capai telefon dan beg duit. Ibu pula sempat membawa beg tangan," katanya ketika dihubungi.

Iklan

Menceritakan kembali kejadian tersebut, dia memberitahu bahawa sekitar jam 2 pagi mereka dikejutkan dengan teriakan jiran serta ketukan kuat pada pintu.

Jelasnya, sebaik sahaja membuka pintu, mereka melihat kereta yang diparkir di sebelah rumah sudah hangus terbakar.

Iklan

Menurut Wan Azita, dalam sekelip mata api merebak dengan cepat dan terus menyambar rumah.

"Kami hanya tinggal sehelai sepinggang. Kami reda, ALLAH masih lindungi," katanya.

Wan Azita yang bekerja sebagai pembantu tukang masak di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail Petra berkata, keluarga mereka telah menyewa rumah berkenaan sejak dua tahun lalu dengan kadar sewa RM300 sebulan.

Ujarnya, kini mereka tiga beranak terpaksa menumpang sementara di rumah kakaknya yang terletak berhampiran.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazaruddin Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.03 pagi.

Menurut beliau, seramai tujuh anggota termasuk pegawai telah ke lokasi untuk kerja-kerja pemadaman, dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.21 pagi.