‘Ketagihan’ kari mamak yang tak pernah sembuh

Iklan
Restoran mamak macam kawan sejati. Tak pernah tidur, tak pernah tutup pintu dan sentiasa sudi melayan dengan senyuman. Foto hiasan

ENTAH apa rahsia restoran mamak ini. Setiap kali waktu makan, bila tanya kawan pejabat nak makan mana, jawapan tanpa gagal ialah ‘jom mamak’ dengan senyuman penuh keyakinan seolah-olah kedai mamak itu satu-satunya restoran halal yang wujud di muka bumi ini.

Merak Jalanan pun hairan, tidak jemu ke setiap hari menu yang sama. Tapi semangat pelanggan tegar yang setia memang lain macam. Kalau dah jemu dengan restoran mamak tempat biasa, dia tukar lokasi lain pula.

Iklan
Iklan

Sanggup pusing jauh semata-mata nak cuba mamak lain yang ‘kuah dia lagi padu’ atau ‘roti dia rangup lain macam’. Macam cinta lama beralih arah tapi tetap dalam keluarga mamak juga.

Tak dinafikan restoran mamak memang dah jadi sebahagian gaya hidup rakyat Malaysia. Nak sarapan ada roti canai panas dengan kuah banjir.

Iklan

Tengah hari nasi kandar menunggu dengan lauk beratur panjang sampai tak tahu nak pilih yang mana. Tengah malam lapar, maggi goreng telur mata pun cukup buat hati rasa senang.

Pendek kata, restoran mamak macam kawan sejati. Tak pernah tidur, tak pernah tutup pintu dan sentiasa sudi melayan dengan senyuman. Meja akan dipastikan bersih berkilat dan ada kipas besar berpusing laju macam helikopter.

Iklan

Yang menariknya, restoran mamak tempat paling ‘merakyat’ di dunia. Meja sama boleh ada geng pejabat tengah mesyuarat kecil, budak kolej main Mobile Legends, sekumpulan pak cik tengah debat politik dan penyokong bola menjerit-jerit bila pasukan mereka menang.

Suasana di restoran mamak memang sukar diganti. Bau kari, bunyi senduk berlaga, jeritan ‘roti kosong satu!’, semuanya jadi muzik kehidupan rakyat Malaysia.

Walaupun ada segelintir yang kata restoran mamak kotor, mahal atau apa-apa sajalah tapi entah kenapa pelanggan tetap ramai.

Ia sudah jelas menunjukkan ‘ketagihan’ restoran mamak nampaknya susah nak sembuh walaupun sekadar datang nak hirup teh tarik buih tebal dua inci dan bergosip ringan.