KUALA SELANGOR – Usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam kalangan kontraktor serta peniaga di bawah seliaan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Pejabat Daerah Kuala Selangor (PDKS) kini menjadi antara agenda utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dalam perancangan program kolaboratif tahun 2026.
Komitmen itu dizahirkan semasa kunjungan hormat dan sesi perbincangan rasmi oleh delegasi SPRM Negeri Selangor yang diketuai oleh Pengarahnya, Mohd Azwan Ramli bersama Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan dan Yang Dipertua MDKS, Mohamad Hanafe Basri pada Isnin.
Menurut Mohd Azwan, antara perkara yang dibincangkan termasuk pelaksanaan aktiviti pencegahan rasuah dan kesedaran integriti yang akan diselaraskan dengan program nasional Keep Malaysia Clean (KMC) yang telah dilancarkan Perdana Menteri pada 1 Oktober lalu.
"Kuala Selangor dipilih sebagai lokasi strategik pembukaan cawangan SPRM pada tahun 2023 dan pelaksanaan awal program KMC pada tahun hadapan kerana nilai sejarahnya yang pernah menjadi pusat pemerintahan negeri Selangor.
“Kesedaran mengenai bahaya rasuah dan pengurusan tatakelola yang baik merupakan tumpuan utama saya selaku pengarah baharu SPRM Negeri Selangor.
"Kita tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan operasi semata-mata, sebaliknya perlu memperkukuh usaha pencegahan agar jenayah ini tidak berulang,” katanya.
Tambahnya, SPRM Selangor turut mengalu-alukan komitmen awal yang ditunjukkan oleh PDKS dan MDKS dalam menjayakan inisiatif tersebut secara berterusan dan bukan sekadar pelaksanaan bersifat ‘one-off’ dan berimpak tinggi.
Jelasnya, kolaborasi itu selaras dengan pelan tindakan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dalam harapan untuk mencapai sasaran tangga ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 2033.
Sementara itu, Mohd Raiz menyifatkan usaha SPRM sebagai tepat pada masanya dan perlu disambut dengan tangan terbuka.
“Kami amat berbesar hati dengan kesudian pihak SPRM memilih Kuala Selangor sebagai daerah terawal bagi pelaksanaan program KMC,” ujarnya.
Bagi Mohamad Hanafe, beliau menekankan kepentingan mendidik kontraktor dan peniaga yang sering berurusan dengan pihak majlis agar sentiasa mengamalkan nilai murni dan menjauhi sebarang bentuk rasuah atau penyelewengan.
Dalam kunjungan rasmi tersebut, Mohd Azwan turut melawat pejabat cawangan SPRM Kuala Selangor bagi meninjau keperluan logistik dan kebajikan pegawai sebagai persiapan awal memperkukuh operasi di daerah terbabit.