SUBANG JAYA - Seramai 300 peserta menyertai acara kemuncak Offline 16 Coffee Rave & Halloween Fun Walk 2025 anjuran VitaHealth Malaysia dengan sokongan Tropicana Corporation Berhad di Tropicana Metropark, pada Sabtu lepas.
Acara edisi kelapan itu menampilkan gabungan unik antara fun walk sejauh dua kilometer dan pesta kopi (coffee rave) yang dimeriahkan dengan muzik rancak serta suasana positif tanpa penggunaan gajet.
Peserta turut menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk senaman pemanas badan, solekan wajah bertema Halloween, permainan karnival, bazar, serta hidangan kopi dan pastri segar.
Ketua Pegawai Eksekutif VitaHealth (Malaysia & Singapura) merangkap Pengasas Offline 16, Dr KS Beh, berkata pihaknya berpegang pada slogan 'Healthy Life, Happy Vibes' di VitaHealth.
“Sebagai peneraju dalam bidang nutrisi selama lebih 78 tahun, kami komited untuk terus menyediakan suplemen yang dipercayai serta inisiatif bermakna yang menggalakkan orang ramai menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bahagia.
‘Offline 16’ bermula tahun lalu sebagai satu idea ringkas untuk mewujudkan ruang di mana individu boleh berehat seketika daripada skrin, hadir sepenuhnya dalam momen, dan meluangkan masa untuk penjagaan diri,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan kini telah berkembang menjadi satu gerakan yang menumpukan kepada kesejahteraan mental dan hubungan manusia yang bermakna.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa coffee rave diperkenalkan sebagai elemen baharu untuk menghimpunkan orang ramai melalui kopi, irama muzik bertenaga serta suasana positif.
“Kami berasa gembira melihat 300 peserta yang bersemangat mengambil peluang untuk berehat daripada dunia digital dan berseronok, menutup siri 2025 dengan senyuman, tawa dan aura positif,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Korporat Kumpulan & ESG Tropicana serta Ahli Jawatankuasa Kanan Tropicana Foundation, Serena Lim, berkata penglibatan Tropicana dalam penganjuran itu seiring dengan komitmen syarikat membina komuniti sihat dan harmoni.
“Bagi kami, ESG bukan sekadar tentang alam sekitar atau tadbir urus, malah ia juga tentang manusia. Offline 16 benar-benar mencerminkan visi ini, membuktikan bahawa komitmen kami melangkaui pembinaan bangunan.
“Ia tentang mewujudkan ruang di mana komuniti dapat berehat seketika daripada kesibukan, berhubung semula dan menjaga kesejahteraan diri bersama-sama,” ujarnya.
Menurut Pengarah Pemasaran Guardian Health & Beauty Sdn Bhd, Anna Ng, pihaknya turut berasa bangga menjadi sebahagian daripada acara Offline 16 anjuran VitaHealth yang menonjolkan kepentingan kesejahteraan mental dan gaya hidup sihat.
Terdahulu, setiap peserta menerima barangan cenderamata bernilai RM300, termasuk beg kanvas, suplemen VitaHealth dan Herbs of Gold, produk Guardian, beg kasut jenama Skechers, pelindung matahari Anessa, baucar kopi dan pastri serta peluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM15,000.
Sejak diperkenalkan, Offline 16 berjaya mengumpulkan 1,620 peserta merentasi lapan edisi di Malaysia dan Singapura, mencatat lebih 45 jam aktiviti tanpa gajet.
Program itu juga menyasarkan usaha meningkatkan kesedaran dengan menjadikan penjagaan kesihatan mental secara pencegahan lebih mudah, praktikal dan dapat diakses oleh semua melalui pengalaman dunia sebenar.
Ia menggalakkan orang ramai untuk berhenti seketika daripada dunia digital, berhubung semula dan membina tabiat hidup sihat.
Untuk turut serta dalam gerakan kesihatan mental yang menarik itu, orang ramai boleh mengikuti @offline16_offliner, @vitahealthmy dan @tropicanacorp.