KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis mengklasifikasikan semula kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel, di sini pada 22 Oktober lalu, sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kes tersebut yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), kini diklasifikasi semula sebagai kes bunuh.
"Siasatan lanjut kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sedang dijalankan," katanya ringkas dalam kenyataan pada Selasa.
Pempengaruh berusia 31 tahun itu ditemui terbaring dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, di sini pada 22 Oktober lalu.
Dia dilaporkan memasuki negara ini pada 20 Oktober melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1).
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat
Difahamkan ketika kejadian, penyanyi rap tempatan, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 42, turut berada dalam bilik sama.
Namewee, kemudiannya ditahan selepas polis mengesyaki dia memiliki dan menggunakan dadah.