Bila rumah jadi medan dendam

Iklan
Ramai pelaku sedar perbuatan mereka salah, namun tetap memilih kekerasan kerana ingin mengawal dan menghukum pasangan. Gambar hiasan

RUMAH sepatutnya menjadi tempat berlindung, menenangkan jiwa dan menyatukan kasih.

Namun, semakin kerap kita membaca kisah sebaliknya, apabila rumah bertukar menjadi lokasi ngeri, tempat darah tumpah di tangan insan yang sepatutnya melindungi.

Iklan
Iklan

Minggu ini, negara sekali lagi digemparkan dengan kejadian tragis di Sarawak apabila seorang lelaki bertindak menetak isteri dan anaknya sendiri menggunakan senjata tajam.

Kejadian yang berlaku di sebuah perkampungan itu menambah satu lagi titik hitam dalam deretan kes keganasan domestik di Malaysia.

Iklan

Insiden seumpama ini bukan kes terpencil. Ia adalah cerminan kepada satu gejala yang semakin meruncing. Jenayah dalam keluarga yang kian sukar dijangka dan membimbangkan pihak berkuasa serta masyarakat.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 7,116 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pada tahun 2024, meningkat berbanding 5,507 kes pada tahun sebelumnya.

Iklan

Kenaikan hampir 30 peratus ini jelas menunjukkan bahawa masalah ini bukan lagi di pinggir, tetapi di tengah kehidupan masyarakat kita.

Di Sarawak sahaja, 2,192 kes keganasan rumah tangga dicatatkan antara tahun 2020 hingga Ogos 2023, menjadikan negeri itu ketiga tertinggi di Malaysia.

Ia bukan angka kecil, sebaliknya satu amaran bahawa isu ini semakin berakar di kawasan yang sering dianggap tenang dan harmoni.

Dalam banyak kejadian, pelaku bukan orang luar. Mereka ialah ayah, suami, abang, orang yang dipercayai sepenuhnya oleh mangsa.

Keadaan ini menunjukkan hubungan darah atau perkahwinan tidak lagi menjadi benteng keselamatan.

Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati 7.1 peratus wanita Malaysia pernah mengalami keganasan dalam hubungan intim. Namun angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi kerana ramai mangsa memilih berdiam diri akibat stigma dan ketakutan.

Isu paling membimbangkan ialah keganasan dalam keluarga kini semakin pelbagai, bukan sahaja fizikal, tetapi juga emosi, seksual dan ekonomi. Mangsa mungkin tidak luka di badan, tetapi retak di jiwa.

Pakar psikologi berpendapat, antara punca utama ialah tekanan ekonomi, penyalahgunaan bahan terlarang, gangguan mental, serta kegagalan mengurus konflik rumah tangga. Dalam kes tertentu, pelaku bertindak selepas lama memendam amarah dan rasa tidak berdaya.

Sudut lain yang sering terlepas pandang ialah kesihatan mental pelaku. Sebahagian daripada mereka mungkin berdepan tekanan psikologi, kemurungan atau gangguan emosi yang tidak dirawat. Tanpa intervensi, tekanan ini mudah meledak menjadi tindakan ganas.

Tetapi gangguan mental tidak boleh dijadikan alasan mutlak. Ramai juga pelaku sedar perbuatan mereka salah, namun tetap memilih kekerasan kerana ingin mengawal dan menghukum pasangan.

Penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah keluarga perlu lebih tegas. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 sudah digubal, namun pelaksanaannya masih lemah di beberapa peringkat, terutamanya dari segi perlindungan awal mangsa.

Beberapa NGO seperti Women's Aid Organisation (WAO) dan All Women's Action Society (AWAM) telah lama memperjuangkan sistem sokongan lebih efisien, termasuk talian bantuan 24 jam, perlindungan sementara dan kaunseling percuma.

Dalam masyarakat moden, isu ini memerlukan pendekatan lebih menyeluruh. Bukan hanya undang-undang, tetapi juga pendidikan dan kesedaran.

Anak muda harus diajar bahawa kasih tidak boleh diterjemah melalui kawalan atau kekerasan.

Perlu juga ada program pemulihan pelaku, kerana tanpa rawatan atau bimbingan, risiko pengulangan tetap tinggi. Hukuman semata-mata tidak menyelesaikan akar masalah.

Kesedaran masyarakat untuk melapor juga mesti dipupuk. Jika jiran mendengar jeritan atau menyaksikan penderaan, jangan anggap ia hal rumah tangga orang.

Dalam situasi kes yang semakin meruncing, diam adalah bentuk bersubahat.

Tragedi di Sarawak seharusnya menjadi amaran keras bahawa jenayah dalam keluarga bukan isu pinggiran. Ia adalah krisis sosial yang sedang membiak dalam diam, menunggu untuk meledak jika kita terus menutup mata.

Rumah bukan lagi tempat selamat, jika kasih telah diganti dendam.

* Normawati Adnan ialah wartawan Sinar Harian Perak