Apa yang anda perlu tahu tentang krisis di Sudan

Iklan
Penduduk tempatan menyertai tunjuk perasaan di Omdurman pada 31 Oktober 2025 bagi membantah dakwaan kekejaman dilakukan RSF di El-Fasher, barat Sudan. Foto AFP (Dari kiri: Mohamed Hamdan 'Hemedti' Dagalo, Abdel Fattahal‑Burhan)

KRISIS di Sudan kini mencerminkan salah satu konflik paling dahsyat di Afrika, bermula dengan ketegangan antara dua kuasa tentera yang asalnya rakan sekutu meletus menjadi perang saudara.

Ia bermula selepas kejatuhan diktator Omar al‑Bashir pada 2019, apabila rakyat menuntut perubahan ke arah sistem demokratik.

Iklan
Iklan

Kerajaan gabungan tentera-awam terbentuk, lalu runtuh melalui rampasan kuasa pada Oktober 2021 yang diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah al‑Burhan (Presiden De Facto) bersama-sama Timbalannya, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti), ketua Rapid Support Forces (RSF).

Ketegangan berlaku apabila cadangan untuk menggabungkan RSF ke dalam SAF memuncak kepada pertikaian siapa yang akan mengetuai pasukan bersatu itu.

Iklan

Jeneral Abdel Fattah al‑Burhan dan Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo yang pada awalnya bekerjasama rapat akhirnya masing-masing mula berebut kuasa.

Hinggalah berlaku pergolakan memuncak pada 15 April 2023 di antara Sudan Armed Forces (SAF) pimpinan al-Burhan dan RSF di bawah Hemedti.

Iklan

Zon kawalan dan campur tangan luar

RSF, yang berasal daripada kumpulan militan yang dikaitkan dengan kumpulan Janjaweed di rantau Darfur sejak awal 2000-an, berjaya menguasai sebahagian besar wilayah Darfur dan sebahagian Kordofan, termasuk bandar strategik El‑Fasher, selain menjarakkan pengaruh SAF ke utara dan timur Sudan pada Oktober lalu.

Peta kawasan dikuasai dalam konflik Sudan (2025) Peta ini menunjukkan pembahagian kawalan wilayah di Sudan ketika konflik antara tentera Sudan RSF.Merah: Kawasan yang dikuasai RSF dan kumpulan sekutu mereka.Biru: Kawasan di bawah kawalan tentera Sudan dan sekutu.Kuning: Kawasan yang dikuasai kumpulan bersenjata lain.Bandar El-Fasher, terletak di wilayah Darfur barat, menjadi titik utama pertempuran selepas dikepung lebih 18 bulan sebelum ditawan RSF pada Oktober 2025. -AFP

SAF pula mengekalkan kawalan struktur kerajaan yang diiktiraf antarabangsa, termasuk pangkalan operasi di pelabuhan Laut Merah.

Konflik ini turut menarik campur tangan kuasa luar, SAF dipercayai menerima sokongan daripada Mesir manakala RSF dikaitkan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sekutu Libya, khususnya ‌Khalifa Haftar dakwaan yang kedua-dua pihak nafikan.

Pergolakan beri impak kemanusiaan

Di El-Fasher, laporan menyebut ratusan lelaki dan remaja ditahan secara sewenang-wenang oleh RSF, dikurung dalam bangunan sekolah, dipukul dan dilabel 'hamba'.

Saksi mendakwa sebahagian dilepaskan selepas beberapa hari manakala yang lain terus hilang tanpa berita.

Menurut laporan rasmi Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konflik itu telah meragut 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 15 juta orang yang hilang tempat tinggal sebagai pelarian serta penduduk yang berpindah di dalam negara.

Pemandangan dari udara yang menangkap perubahan lanskap pinggir sebuah perkampungan di barat laut El‑Fasher, wilayah Darfur, Sudan akibat pergolakan.-AFP

Sumber lain pula menyebut bahawa angka kematian yang lebih tinggi wujud namun liputannya sangat sukar disahkan.

Kebimbangan pembahagian dan keruntuhan ekonomi

Serangan dan kawalan RSF di El-Fasher dan wilayah Darfur menimbulkan kebimbangan bahawa Sudan mungkin menghadapi perpecahan.

Ekonomi negara menunjukkan keruntuhan, hasil menyusut, infrastruktur musnah, dan operasi bantuan kemanusiaan terganggu akibat kekurangan dana dan masalah keselamatan.

RSF kini membentuk kerajaan saingan dan mengawal hampir separuh negara, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa Sudan bakal berpecah sekali lagi seperti pada 2011, ketika Sudan Selatan memisahkan diri.

Dengan ekonomi yang lumpuh hasil negara susut 80 peratus dan infrastruktur hancur Sudan kini menjadi simbol kehancuran akibat kerakusan kuasa, di tengah dunia yang semakin melupakan penderitaan rakyatnya. -Agensi