KEPULANGAN Xabi Alonso ke Anfield selaku ketua jurulatih Real Madrid menjadi tumpuan menjelang pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Liverpool awal pagi nanti (4 pagi waktu Malaysia).
Alonso mengakui kepulangannya ke Mersyside membawa nilai sentimental, tetapi berkata fokus utamanya tetap pada misi meraih tiga mata di Anfield.
“Anfield merupakan bab penting dalam perjalanan karier saya sebagai pemain bola sepak.
“Tetapi sekarang sebagai jurulatih Real, saya tidak boleh terikat dengan nilai sentimental.
“Saya ada sasaran. Saya mahu Real menang dan bawa pulang tiga mata,” ujar Alonso.
Dalam pada itu, tekanan terhadap Arne Slot sedikit reda selepas Liverpool menamatkan rentetan empat kekalahan Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa pada Ahad.
Namun, tugasan kali ini berada dalam kelas berbeza memandangkan Real hadir dengan momentum jauh lebih stabil iaitu 13 kemenangan daripada 14 perlawanan musim ini, termasuk tiga kemenangan berturut-turut dalam UCL.
Liverpool dijangka kembali diperkuatkan Ryan Gravenberch, namun Alexander Isak dan Curtis Jones masih diketepikan.
Florian Wirtz pula masih belum benar-benar mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama.
Pemain tengah Jerman itu hanya dimasukkan dari bangku simpanan ketika menentang Villa dan gagal memberi impak dalam tempoh permainan singkat itu.
Bagi Real pula, kelab Sepanyol itu dijangka mengekalkan kuartet Arda Guler, Jude Bellingham, Vinicius Jr dan Kylian Mbappe sebagai tunjang utama serangannya.