GERIK - Polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik sebuah akaun Facebook yang dipercayai memuat naik hantaran jelik terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu daripada Pegawai Khas Menteri Besar Perak pada 9 Mei lalu sekitar jam 4.19 petang.
Menurutnya, laporan tersebut dibuat selepas pegawai terbabit menemui tangkap layar hantaran berbaur jelik terhadap Saarani yang dimuat naik di laman media sosial terbabit.
“Bertindak atas laporan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menjalankan siasatan lanjut terhadap akaun Facebook berkenaan dan berjaya mengenal pasti pemiliknya.
“Pada 2 November, kira-kira jam 3 petang, individu tersebut telah dipanggil ke IPD Gerik untuk diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Abdul Samad berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek bagi memuat naik kenyataan menghina tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian bagi mengelak gangguan terhadap siasatan.
Pada 9 Mei lalu, media melaporkan penduduk Lenggong tampil membuat laporan polis terhadap dua akaun media sosial Facebook yang didakwa memuat naik hantaran jelik terhadap Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan.