ALOR SETAR – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, melakar sejarah peribadi apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi dan menerima skrol pada Majlis Konvokesyen ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung dari 9 hingga 13 November ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menyiapkan tesis bertajuk Strategi Komunikasi Kerajaan Malaysia: Satu Analisis Penentuan Agenda dan Pembingkaian Pelaksanaan 'Goods and Services Tax’.
Kejayaannya yang lulus sesi pertahan tesis PhD pada Ogos lalu membuktikan komitmennya terhadap dunia akademik meskipun aktif dalam arena politik.
Majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok itu menyaksikan seramai 6,832 graduan diraikan, terdiri daripada 5,575 pelajar prasiswazah dan 1,241 pelajar pascasiswazah, termasuk penerima ijazah PhD, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan, Sarjana dan Diploma Eksekutif.
Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, majlis berprestij itu akan diserikan oleh Canselor UUM, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan amerasmikan sesi pertama konvokesyen.
“Daripada jumlah keseluruhan graduan, seramai 6,317 merupakan pelajar tempatan manakala 441 lagi adalah pelajar antarabangsa dari negara seperti Indonesia, China, Pakistan, Arab Saudi, Nigeria, Somalia dan Iraq,” katanya pada sidang akhbar di Alor Setar pada Isnin.
Beliau turut memaklumkan bahawa UUM akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Perniagaan Islam kepada Pengerusi Universiti INCEIF, Tan Sri Azman Mokhtar, menjadikan jumlah penerima kehormat universiti itu kepada 55 orang sejak 1988.
Dalam majlis sama, Anugerah Pelajaran Diraja akan diberikan kepada Mohammad Noor Aiman Hassan Nudin dari Tawau dan Vianca Syam Shamlal dari Kedah, manakala Anugerah Pingat Emas Canselor bakal disampaikan kepada Wong Yoong Wai dari Seremban.
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja masing-masing akan menerima wang tunai RM7,500, manakala penerima Anugerah Pingat Emas Canselor akan menerima RM4,000 sebagai penghargaan atas kecemerlangan akademik mereka.
UUM turut meraikan seramai 1,339 graduan yang berjaya memperoleh ijazah kelas pertama serta 137 graduan perintis daripada tiga program baharu iaitu Linguistik dan Teknologi Maklumat, Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif, serta Sejarah Gunaan.