SOUTH DAKOTA – Seorang lelaki berusia 73 tahun di South Dakota, Amerika Syarikat, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada awal Oktober lalu selepas menembak mati bekas rakan sekolahnya, 50 tahun selepas menjadi mangsa buli.
Carl Erickson yang mengaku bersalah, namun didapati mengalami gangguan mental menembak Norman Johnson, bekas bintang sukan di sekolah menengah mereka, sebanyak dua kali di muka, menurut laporan Keloland News.
Insiden tragis itu berpunca daripada kejadian lama di bilik persalinan sekolah pada tahun 1960-an, apabila Johnson dikatakan mempermalukan Erickson di hadapan rakan-rakan dengan meletakkan tali seluar dalam di kepalanya.
Kejadian itu terus menghantui Erickson selama lebih setengah abad menyebabkan tekanan emosi dan kemurungan yang mendalam.
Pendakwa raya berkata, mangsa, Norman Johnson kemudian menjadi guru dan jurulatih olahraga yang dihormati selepas bersara, manakala Erickson menjalani kehidupan sebagai ahli perniagaan.
Anak perempuan Johnson, Beth menyifatkan pembunuhan itu sebagai “tindakan cemburu lama yang tidak masuk akal”, sambil menambah bahawa bapanya tidak pernah menyimpan dendam terhadap sesiapa.
Erickson memberitahu mahkamah, “Saya tidak tahu mengapa saya melakukannya. Ia sesuatu yang tersimpan dalam bawah sedar saya selama 50 tahun.”
Laporan psikiatri yang dikemukakan kepada mahkamah menyatakan tertuduh mempunyai sejarah kebimbangan dan kemurungan yang serius serta keupayaan menilai dan berfikir yang terjejas.
Sebelum dijatuhkan hukuman, Erickson kelihatan kesal dan memohon maaf kepada balu mangsa, sambil berkata, “Saya harap saya boleh memutar kembali masa.”
Beliau kini menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol. – Agensi