Lelaki menyamar polis trafik dicekup minta wang RM300

Iklan
Tangkap layar video menunjukkan lelaki tersebut mengenakan pakaian seperti anggota trafik sebelum ditahan polis IPD Ipoh.

IPOH – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis trafik dan meminta wang tunai RM300 daripada seorang penunggang motosikal di hadapan sebuah restoran di Taman Ipoh Timur Baru, Bercham awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian itu tular di laman Facebook apabila video memaparkan suspek berpakaian menyerupai anggota polis trafik menahan seorang penunggang motosikal dikongsikan orang ramai.

Iklan
Iklan

Tular video di laman Facebook memaparkan seorang lelaki menyamar sebagai polis.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek berusia lingkungan 20-an menahan mangsa dan mendakwa motosikal ditunggang telah diubah suai sebelum meminta wang RM300 sebagai sogokan bagi mengelak daripada disaman.

Iklan

“Mangsa yang curiga kemudian menghubungi rakannya sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pihak polis.

"Suspek akhirnya berjaya ditahan bersama beberapa barangan digunakan untuk tujuan penyamaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Abang Zainal Abidin berkata, antara barangan dirampas termasuk vest pantul cahaya bertulis ‘Bike Rescue’, topi dan kasut berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua motosikal Yamaha Y15ZR, alat komunikasi walkie-talkie serta beberapa pelekat logo rasmi PDRM.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Jelasnya, suspek turut direman empat hari bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang mengaku sebagai anggota polis tanpa menunjukkan kad kuasa sah, serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berdepan situasi mencurigakan.