PASIR MAS - Allahyarham Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, sempat menunaikan solat Maghrib sebelum ditembak 18 das oleh dua suspek yang juga sepupu kepada isterinya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, dalam kejadian di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand pada malam Sabtu.
Ahli keluarga mangsa yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 50, berkata, dia yang kebetulan berada di lokasi kejadian ternampak tangan dari arah atas pagar rumah sebelum dua suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah arwah.
“Ketika kejadian, dua beradik lelaki itu tidak memakai penutup muka, hanya memakai topi.
“Ada bersama di rumah ketika itu ialah isteri dan bapa mentua arwah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra di sini pada Ahad.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang menembak Mohd Fuad Fahmie adalah sepupu kepada isteri arwah dan mereka saling mengenali.
Sinar Harian melaporkan bahawa jenazah Mohd Fuad Fahmie yang maut ditembak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra di sini pada jam 2.30 petang Ahad.
Turut hadir, ibunya, Zaiton Abdul Rahman, 64, serta sanak saudara yang lain.
Sebelum itu, arwah yang parah ditembak di sebuah rumah di Sungai Golok, Thailand dilaporkan meninggal dunia pada malam Sabtu.
Mohd Fuad Fahmie yang berasal dari Kampung Kepas Apam, di sini, meninggal dunia pada jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Menurut ibunya, Zaiton, beliau dimaklumkan tentang kematian anaknya oleh menantu, Wan Fatihah, kira-kira jam 9 malam.