BMS 2025 berjaya kutip deposit RM222.29 juta

Iklan
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025, pada Sabtu.

KUALA LUMPUR – Program Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 berjaya mencatatkan kutipan deposit sebanyak RM222.29 juta, melepasi sasaran iaitu RM220 juta dengan pencapaian 101.04 peratus sepanjang tempoh pelaksanaannya.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata kejayaan itu membuktikan BMS 2025 merupakan program berimpak tinggi yang terus mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat.

Iklan
Iklan

“Pencapaian itu menggambarkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menabung semakin meningkat selaras dengan usaha PTPTN membudayakan simpanan sebagai persediaan pendidikan anak-anak,” katanya.

Norliza berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutup BMS 2025 di Sunway Velocity Mall di sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN.

Program Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 merupakan program signature PTPTN bagi menggalakkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.

Iklan

Norliza (tiga, kiri) dan Ahmad Dasuki (tiga, kanan) bersama Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN memegang tabung edisi khas Program Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025.

Katanya, BMS yang bermula pada 26 September hingga 2 November 2025 itu dianjurkan bersempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun, dan telah memasuki tahun kelapan penganjurannya sejak 2018.

Menurutnya, tema pengembaraan dengan tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’ amat bertepatan dalam menggambarkan perjalanan pendidikan anak-anak yang penuh cabaran dan penemuan baharu.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan untuk ibu bapa dan anak-anak termasuk Pertandingan Mewarna, Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Pakaian Beragam, Jenga Family Competition, Memory Challenge, Kotak Misteri, Kuiz Online dan Sembang BMS.

Norliza (tiga, kiri) bergambar bersama barisan Pengurusan Kanan PTPTN, rakan strategik dan pengunjung yang turut memeriahkan Program Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025.

Beliau berkata, pengunjung yang hadir juga berpeluang mendapatkan tabung edisi khas BMS dan cenderahati eksklusif dengan membuat penabungan melalui Simpan SSPN sepanjang program berlangsung.

Dalam majlis penutup itu juga, PTPTN dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad memperkenalkan Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN, yang menawarkan pulangan tunai untuk setiap transaksi runcit dan atas talian domestik serta luar negara.

PTPTN turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2025 serta hadiah kepada pemenang Pertandingan Simpan SSPN Got Talent sebagai penghargaan atas sokongan berterusan mereka.

Selain itu, turut ditayangkan muzik video lagu Simpan SSPN ‘Terbang Tinggi’ yang dilancarkan sempena BMS tahun lalu, sebagai simbol komitmen PTPTN dalam menyemarakkan budaya menabung di kalangan masyarakat Malaysia.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.

Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Dua peserta cilik bawa pulang hadiah wang tunai

Sementara itu, dua peserta cilik pertandingan Simpan SSPN Got Talent dinobatkan sebagai juara kategori tahap satu dan dua hasil bakat dan usaha luar biasa mereka.

Putri Qayla Qaleesya Nur Firdaus, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasik berkata, kemenangan itu tidak disangka kerana hanya membuat persiapan dalam tempoh dua hari.

“Mula-mula ingat dapat nombor tiga, rupanya dapat juara,” katanya.

Putri Qayla (dua dari kiri) menjuarai Simpan SSPN Got Talent tahap 2.

Menurutnya, dia mempertaruhkan lagu ‘Gurindam Jiwa’ yang pernah dibawanya dalam pertandingan sebelum ini.

“Tahun lepas saya bawa lagu sama dan dapat nombor empat, tapi kali ini rezeki dapat nombor satu,” katanya.

Putri berkata, kemenangan itu akan dijadikan pembakar semangat untuk terus memperbaiki mutu persembahannya pada masa depan.

“Saya rasa nak bagi sikit hadiah untuk keluarga dan selebihnya saya nak simpan,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Adam Mikael Mohd Firdaus, 8, dari SK Bandar Tun Razak 2, turut tidak menyangka akan meraih kemenangan pada pertandingan tersebut.

Muhammad Adam (dua dari kiri) menjuarai Simpan SSPN Got Talent tahap 1.

“Saya gembira sangat dapat jadi juara hari ini. Terima kasih PTPTN,” katanya.

Bakat Muhammad Adam bermain biola menyerlah hasil latihan bersama ibunya sejak kecil.

“Saya pernah buat persembahan dan dapat bayaran, duit yang saya dapat saya simpan dalam Simpan SSPN,” ujarnya.

REAKSI

KELLY

‘BMS 2025 merupakan satu program yang baik untuk mendidik anak-anak menabung dan selain memberinya banyak pendedahan serta manfaat.” - Kelly Chieng, 52.

ANTHONY

“Pelepasan taksiran cukai pendapatan yang diberikan sangat berbaloi dan amalan menabung adalah lebih baik untuk kesenangan masa hadapan.” - Anthony Ng Huey Cherng, 41