PASIR MAS - Ibu kepada Allahyarham Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang maut ditembak di Golok, Thailand iaitu Zaiton Abdul Rahman, 64, memaklumkan anaknya itu tidak mempunyai hutang dengan suspek.
"Ada yang mengaitkan masalah hutang, namun anak saya tidak berhutang.
"Arwah pernah bercerita mengenai suspek sebelum ini yang tidak puas hati terhadapnya," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Kepas Apam di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Zaiton memberitahu, individu yang menyerang anaknya itu memang dikenali anak dan menantunya.
Ujarnya, kejadian berlaku di rumah Mohd Fuad Fahmie di Golok, Thailand apabila suspek datang menyerang sebelum melepaskan tembakan ke arahnya.
"Beberapa bulan lalu, kediaman dia (anak) sudah diberi tembakan amaran dipercayai dilakukan individu sama kerana tidak berpuas hati dengan anak saya," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang rakyat Malaysia yang parah ditembak di sebuah rumah di Sungai Golok, Thailand dilaporkan meninggal dunia pada malam Sabtu.
Mangsa, Mohd Fuad Fahmie yang berasal dari Kampung Kepas Apam di sini, meninggal dunia pada jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok selepas ditembak sebanyak lapan kali.
Menurut Zaiton, dia dimaklumkan tentang kematian anaknya itu oleh menantu, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, kira-kira jam 9 malam.