Kelab Pencinta Si Bulus Temerloh cari keluarga angkat buat lebih 50 kucing terbiar

Iklan
Suhaya bersama Fazli ketika melihat antara kucing yang ditempatkan di rumah perlindungan tersebut.

Bantu kurangkan beban

TEMERLOH – Kelab Pencinta Si Bulus Temerloh mengalu-alukan penglibatan orang ramai untuk menjadi keluarga angkat kepada kucing yang berada di bawah jagaan mereka bagi mengurangkan beban kos penjagaan serta kapasiti ruang yang semakin terhad.

Pengerusi kelab, Suhaya Elly Rosli, 47, berkata, pihaknya kini menjaga lebih 50 ekor kucing termasuk yang diselamatkan daripada jalanan serta yang dibuang oleh pemilik atau pihak tidak bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

“Kami bukan sekadar memberi makan, tetapi turut memastikan rawatan, vaksinasi dan tempat tinggal yang selamat untuk setiap kucing.

"Kos semakin meningkat dan ruang semakin terhad. Sebab itu kami amat mengalu-alukan mereka yang sudi menjadikan kucing ini sebagai anak angkat, bagi memastikan keselesaan dan kesihatan kucing-kucing terus terjamin,” katanya.

Iklan

Beliau ditemui ketika Program Inisiatif 'Prihatin Bulus' bersama Adabi Distribution Sdn Bhd di Taman Tasik Chatin, Mentakab, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengurus Adabi Distribution Sdn Bhd, Fazli Che Omar yang menyampaikan sumbangan 35 pek makanan kucing untuk kegunaan kelab tersebut.

Iklan

Sumbangan yang disampaikan oleh Fazli (tiga dari kanan) kepada Suhaya (empat dari kiri) pada Sabtu.

Jelas Suhaya lagi, program pengambilan anak angkat bukan sahaja membantu mengurangkan beban kelab, malah memberi peluang kepada kucing untuk menikmati kehidupan yang lebih baik dalam persekitaran keluarga.

“Kucing ini bukan sekadar haiwan peliharaan. Mereka mempunyai perasaan dan layak mendapat kasih sayang. Kami mahu orang ramai melihat pengambilan kucing sebagai satu tanggungjawab, bukan trend sementara,” katanya.

Suhaya turut menjelaskan bahawa proses pemadanan pemilik dengan kucing dilakukan secara teliti bagi memastikan kesesuaian dan komitmen jangka panjang.

“Kami sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang benar-benar ikhlas. Sesiapa yang berminat boleh datang ke pusat penjagaan atau menghubungi pihak kelab untuk proses saringan dan lawatan,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai masyarakat Temerloh dan kawasan sekitar tampil membantu, sama ada melalui pengambilan anak angkat, penajaan makanan, atau sumbangan perubatan bagi memastikan kebajikan haiwan terus terpelihara.

“Usaha ini bukan milik kami sahaja. Ia tanggungjawab bersama untuk menjaga makhluk Tuhan yang tidak mampu bersuara,” katanya.

Kelab tersebut telah mewujudkan rumah perlindungan di taman berkenaan sejak awal tahun lalu.

Bagi mereka yang ingin membantu atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai rumah perlindungan ini, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Muamalat (06020002675710) atas nama Kelab Generasi Prihatin Temerloh.