CAP gesa semua negeri larang penjualan vape demi lindungi generasi muda

Iklan
Penggunaan vape dan rokok elektronik didapati semakin berleluasa dalam kalangan pelajar di Pulau Pinang dan Perak. Subbarow (gambar kecil) - Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa negeri-negeri yang masih belum melaksanakan larangan penjualan vape dan rokok elektronik agar segera berbuat demikian demi melindungi kesihatan generasi muda, khususnya pelajar sekolah.

Pegawai Pendidikan Kanan merangkap Aktivis Anti Merokok CAP, N V Subbarow berkata, pihaknya bersama ibu bapa dan guru tertanya-tanya bilakah negeri-negeri terbabit akan mengumumkan pengharaman sepenuhnya terhadap penjualan dan penggunaan vape.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga kini Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak masih belum menguatkuasakan larangan tersebut.

"Ini isu kesihatan yang sangat penting dan kerajaan terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk merawat penyakit yang berpunca daripada amalan tidak sihat ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, satu kempen yang dijalankan baru-baru ini oleh CAP mendapati penggunaan vape dan rokok elektronik masih berleluasa dalam kalangan pelajar sekolah di Pulau Pinang dan Perak.

Katanya, sebelum ini, masalah berkenaan lebih ketara di sekolah jenis kebangsaan, namun kini ia turut merebak ke sekolah rendah pelbagai aliran bahasa.

Iklan

Tambah Subbarow, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), anggaran kos rawatan penyakit berkaitan rokok elektronik seperti e-vali mencecah RM244.8 juta, seperti dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

"Adakah kita mahu lebih banyak wang rakyat dibelanjakan untuk penyakit akibat penggunaan vape?" katanya.

Beliau berkata, beberapa negeri seperti Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang telah mengambil langkah awal dengan tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik.

Sehubungan itu, CAP menggesa semua negeri lain supaya segera mengumumkan larangan penjualan dan penggunaan vape tanpa sebarang kelewatan demi masa depan pelajar dan generasi muda negara.

"Kesihatan generasi akan datang lebih penting daripada kekayaan individu," tegasnya.