Penuntut kolej maut dirempuh rakan selepas motosikal terbabas

Iklan
Motosikal Yamaha 135LC terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya WCE, Kuala Langat pada Jumaat. - Mohd Akmalrizal (kanan) - Foto: Tular

KUALA LANGAT – Seorang penuntut kolej maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum dirempuh motosikal rakan dalam kemalangan di Kilometer 7.3 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa berusia 17 tahun dari arah Banting ke Saujana Putra hilang kawalan lalu terjatuh di lorong kiri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada masa sama, rakannya yang juga berusia 17 tahun dan menunggang motosikal Yamaha LC135 tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Banting.

Iklan

"Perlanggaran turut menyebabkan rakan mangsa tercampak ke permukaan jalan dan mengalami kecederaan di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kedua-dua penunggang merupakan penuntut kolej dan mempunyai lesen memandu yang sah.

Iklan

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu melulu atau membahayakan.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Sohairi Manaf di talian 03-3187 2222 / 019-999 3077 atau hadir ke balai polis berdekatan.