AS sekali lagi zahir terima kasih layanan baik terhadap Trump

Iklan
Pertemuan Anwar bersama Scott Bessent ketika Mesyuarat APEC di Gyeongju, Republik Korea pada Jumaat. - Foto: Izzuddin Abd Radzak

SHAH ALAM – Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent, sekali lagi menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas layanan baik yang diberikan kepada Presiden Donald Trump dan delegasinya sewaktu berada di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ucapan berkenaan disampaikan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Bessent semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Gyeongju, Republik Korea, pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Saya sekali lagi sampaikan ucapan terima kasih kepada Presiden Trump atas kunjungan yang mencerminkan iltizam tinggi kepimpinan AS dalam memperkukuh hubungan dua hala yang konstruktif, saling menghormati dan membawa manfaat bersama.

"Saya menghargai peranan serta sumbangan beliau dalam memperkukuh kerjasama ekonomi global di samping usaha memperluas jaringan pelaburan, perdagangan dan keamanan yang inklusif berasaskan dialog, keadilan serta saling memahami," katanya.

Iklan

Anwar berkata, pertemuan berkenaan secara tidak langsung meneruskan momentum hubungan erat yang telah terjalin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan memberi ruang kepada mereka untuk membincangkan pelbagai aspek hubungan perdagangan serta kewangan antara Malaysia dan AS.

"Tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkukuh pertalian ekonomi dua hala, termasuk komitmen bersama antara Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia dalam memastikan dasar pertukaran mata wang yang berdaya tahan, kestabilan pasaran kewangan serta tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Iklan

"Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat atas landasan prinsip keterbukaan, keadilan dan hormat-menghormati demi menjamin kestabilan, kemakmuran dan keamanan serantau serta sejagat," katanya.