m-CREST hab utama iklim negara

Iklan
Warga MSU bergambar bersama Fadillah (tengah) selepas Majlis Pelancaran MSU m-CREST pada Khamis.

SHAH ALAM – Management and Science University (MSU) memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian global menerusi pelancaran MSU Centre for Climate Resilience and Strategy (m-CREST) yang bakal menjadi hab utama penyelidikan dan strategi perubahan iklim negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penubuhan m-CREST bertepatan dengan usaha kerajaan memperkukuh daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim melalui pelbagai inisiatif dasar dan kerjasama strategik.

Iklan
Iklan

“Hab ini akan menjadi pusat penyelidikan dan kolaborasi penting melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan, industri, institusi akademik dan masyarakat bagi melahirkan penyelesaian inovatif serta berimpak tinggi,” katanya pada Majlis Pelancaran MSU m-CREST di sini pada Khamis.

Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan replika cek bernilai RM10 juta daripada Yayasan MSU kepada m-CREST.

Iklan

Hadir sama, Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid; Pro-Canselor MSU, Profesor Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Naib Canselor MSU, Profesor Datuk Dr Junainah Abd Hamid.

Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan replika cek bernilai RM10 juta daripada Yayasan MSU kepada m-CREST sebagai geran permulaan bagi menyokong pelbagai inisiatif penyelidikan, latihan, geran dan konsultansi berkaitan isu kelestarian alam sekitar dan ketahanan iklim untuk tempoh lima tahun (2025–2030).

Iklan

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, m-CREST dibangunkan dengan enam kluster utama.

“Pusat itu akan melaksanakan penyelidikan, pendidikan, advokasi dan program kesedaran komuniti bagi menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

“MSU telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap kelestarian global dan kini tersenarai antara 200 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan kerajaan kekal komited terhadap agenda perubahan iklim melalui penggubalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dan pelaksanaan cukai karbon bagi sektor tertentu bermula tahun depan.

Beliau berkata, universiti seperti MSU memainkan peranan besar dalam menyokong dasar berasaskan bukti, memperkukuh inovasi teknologi hijau serta meningkatkan daya tahan iklim negara.

Penubuhan m-CREST merupakan kesinambungan kepada kecemerlangan MSU dalam bidang kelestarian alam sekitar yang turut diiktiraf di peringkat global.