KUALA LUMPUR - Sektor pembangunan sosial negara terus menunjukkan kematangan dengan peningkatan signifikan peranan wanita sebagai peneraju dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tokoh wanita Program Perantisan Kepimpinan Wanita (Perantis), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, sektor itu memainkan peranan penting dalam menyokong dasar kerajaan dan memperkasakan komuniti menerusi pelbagai inisiatif melibatkan kebajikan keluarga, pemerkasaan wanita, pendidikan dan kemanusiaan.
"Namun, ia juga turut berhadapan dengan cabaran berkaitan tadbir urus dan integriti yang boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap NGO.
"Integriti bukan pilihan, tetapi kewajipan yang mana dalam setiap keputusan dan setiap sen dana yang diamanahkan adalah soal kepercayaan. Apabila kepercayaan hilang, seluruh misi sosial akan goyah,” katanya dalam kenyataan program Pemberdayaan Pemimpin Wanita Dalam Sektor Pembangunan Sosial anjuran International Governance and Sustainability Center (IGSC) pada Jumaat.
Dengan sokongan Perantis, Che Asmah berkata, program di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu dilihat sebagai pemangkin kepada transformasi kepimpinan wanita dalam sektor sosial.
"Sekali gus ia memperkukuh nilai profesionalisme NGO serta menyumbang ke arah pembentukan ekosistem pembangunan sosial yang lebih telus, berdaya tahan dan berimpak tinggi.
"Integriti bukan sekadar tentang kejujuran individu, tetapi kejujuran sistem. Tadbir urus yang baik bermula dengan nilai yang benar dan nilai itu datang daripada hati yang tulus untuk berkhidmat,” tambahnya.
Pada program itu, peserta didedahkan kepada kajian tempatan dan antarabangsa antaranya ketidakseimbangan antara permintaan sosial serta kapasiti institusi kebajikan menjadi punca utama kelemahan pengurusan.
Malah, penyelidikan Yahya et al menegaskan bahawa integriti korporat dalam organisasi bergantung kepada tiga dimensi utama iaitu etika, budaya organisasi dan pengurusan risiko.
“Kita mahu wanita menjadi pemimpin yang bukan sekadar menyantuni masyarakat, tetapi mampu mengurus organisasi dengan penuh akauntabiliti. Integriti ialah asas kepada setiap keputusan dan tindakan,” ujar salah seorang peserta.
Tambah individu itu, program berkenaan memberi ruang kepada peserta untuk menilai semula struktur organisasi dan mengenal pasti jurang dalam pelaksanaan tadbir urus.
"Ia juga menjadi platform bagi membina jaringan profesional wanita dalam NGO untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan terbaik dalam memperkukuh pembangunan sosial negara.
“Kekuatan wanita bukan hanya pada empati, tetapi pada keupayaan membina sistem dan jaringan yang beretika. Apabila wanita bergabung dengan nilai integriti, mereka mampu mengubah wajah sektor sosial negara,” jelasnya.