KUANTAN - Penduduk Perumahan Bukit Rangin Perdana 2 di sini gusar berdepan Monsun Timur Laut (MTL) kali ini apabila ban pencegah banjir di kawasan itu yang pecah sejak April lalu belum dibaiki.
Keadaan berkenaan sangat membimbangkan mereka kerana runtuhan semakin merebak dan berisiko menjejaskan keselamatan penduduk khususnya ketika musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi.
Suri rumah, Yusnizar Mohd Zaidi, 46, mengakui bimbang jika ban tersebut tidak dibaiki segera, kawasan itu berisiko banjir disebabkan limpahan air dari kolam takungan banjir berhampiran.
Kebimbangan wanita berkenaan berasas kerana keluarganya terdedah kepada risiko keselamatan memandangkan rumah mereka berada paling hampir iaitu hanya kira-kira 15 meter dari lokasi ban pecah.
"Sekiranya tidak diatasi segera, masalah ini akan lebih teruk dan boleh menjejaskan keselamatan serta harta benda penduduk.
"Ketika ini rumah saya dan jalan berhampiran mulai retak disebabkan berlaku pergerakan tanah berpunca dari ban pecah ini ," katanya.
Paling dibimbangi Yusnizar, kejadian banjir buruk yang dilalui pada 2021 mungkin berulang kembali.
Seorang lagi penduduk, Khairul Azlan Mohd Salim, 41, berkata, setakat ini pihak kontraktor hanya meletakkan kanvas plastik bagi mengelak runtuhan ban semakin serius.
Katanya, jika ban tersebut tidak dibaiki segera, dikhuatiri hampir 1,500 rumah penduduk di kawasan itu terjejas ketika dilanda MTL nanti.
"Kawasan perumahan ini pernah dilanda banjir dengan paras air naik kira-kira satu meter pada 2021 walaupun ketika ban ini masih kukuh.
"Bayangkan jika banjir berlaku lagi dalam keadaan ban pecah sebegini," katanya yang menetap di sini sejak tahun 2015.
Susulan itu, bapa kepada tiga anak tersebut memohon kepada pihak bertanggunjawab agar segera mengambil tindakan membaiki runtuhan ban terbabit sebelum bermulanya MTL kali ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya yang turun padang meninjau lokasi turut menyeru agar pihak bertanggungjawab segera mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang meresahkan penduduk.
"Saya difahamkan rumah pam sudah disiapkan jadi ban ini juga perlu dibaiki segera. Kalau tidak, tiada gunanya. Jangan jadikan penduduk sebagai mangsa," katanya.