‘Saya mahu Bukit Aman lantik IO baharu cari pembunuh Zayn Rayyan’ - Zaim Ikhwan

Iklan
Zaim Ikhwan keluar selepas Mahkamah Sesyen hari ini menyampaikan keputusan berhubung isterinya, Ismanira Abdul Manaf, yang berdepan tuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lepas. Foto: Bernama

PETALING JAYA – Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari, menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Bukit Aman untuk melantik pegawai penyiasat (IO) baharu bagi mencari individu yang didakwa bertanggungjawab membunuh anak lelakinya.

Zaim Ikhwan, 30, mendakwa beliau dan keluarganya tidak lagi mempercayai ketelusan IO sedia ada yang mengendalikan kes tersebut sebelum ini.

Iklan
Iklan

“Saya kecewa dengan keputusan hari ini. Semoga semua yang terlibat dalam ketidakadilan dan fitnah terhadap keluarga saya akan menerima balasan Tuhan.

“Pihak polis perlu teruskan siasatan untuk mencari pembunuh anak saya yang masih bebas di luar sana,” katanya dengan nada kecewa.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat.

Zaim Ikhwan turut meluahkan rasa kecewa susulan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, selepas didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan, dua tahun lalu.

Iklan

Katanya, walaupun sukar menerima keputusan tersebut, beliau akan cuba menghadapinya sebagaimana beliau menerima takdir kehilangan anak sulungnya itu pada Disember 2023.

Terdahulu, suasana di mahkamah bertukar kecoh apabila Zaim Ikhwan gagal menahan emosinya selepas Hakim Dr Syahliza Warnoh menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Ismanira sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah memerintahkan agar Ismanira memulakan hukuman penjaranya serta-merta di Penjara Wanita Kajang.

Dalam penghakimannya, hakim menyatakan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan Ismanira cuai dalam penjagaan Zayn Rayyan semasa kejadian.

Mahkamah turut memerintahkan Ismanira menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin serta wang jaminan sebanyak RM3,000.

Selain itu, beliau diwajibkan melaksanakan 120 jam khidmat komuniti dalam tempoh enam bulan selepas selesai menjalani hukuman penjara.