SHAH ALAM – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida tampil menjelaskan tidak menyesal mempertahan prinsipnya walaupun pelbagai barangan termasuk kereta mewahnya dilelong pada Khamis.
Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman, 54, menegaskan tidak menyesal mempertahankan prinsipnya meskipun terpaksa menanggung akibat hingga ke hari ini.
"Saya memang tak nak bayar. Walaupun mampu, tapi hati saya sakit. Bayar bank RM100,000 sebulan tunggu projek siap, tapi tiga tahun tak siap-siap.
"Kalau saya bayar, reputasi saya hilang nilai. Tapi kalau saya lawan, orang tetap mengata. Saya tetap kuat sebab saya percaya kita kena pandang ke depan," katanya menerusi siaran langung di TikTok pada Khamis.
Sebelum ini, semua barangan peribadi milik Vida termasuk tiga kenderaan mewah berjaya dilelong dengan nilai keseluruhan RM1 juta pada Khamis.
Proses lelongan yang diadakan di kediaman beliau di Meru Heights itu bermula sekitar 10.30 pagi dan berakhir kira-kira 1.40 petang melibatkan dua pembida yang juga usahawan.
Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka, Norzamri Abdullah berjaya memperoleh keseluruhan barangan yang disenaraikan selepas seorang lagi pembida menarik diri.
Antara aset yang dilelong ialah sebuah Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7 selain 727 barangan dalam rumah seperti set sofa, meja makan, televisyen, penghawa dingin, teleskop, gitar elektrik, piano, set karaoke, meja pool, hiasan dinding dan pasu.