Haji pada usia muda

Iklan
USAHAKAN untuk menunaikan haji pada waktu muda. Foto Canva

Jemaah lebih bersedia hadapi ujian fizikal, mental dan rohani

MENUNAIKAN ibadah haji pada usia muda merupakan waktu paling sesuai kerana ia menuntut kekuatan fizikal, mental dan rohani.

Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, golongan muda lazimnya memiliki tahap kesihatan dan tenaga yang lebih baik, serta mampu menyesuaikan diri dengan cabaran ibadah haji yang memerlukan ketahanan fizikal dan emosi.

Iklan
Iklan

Asmadi yang juga Profesor di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) Universiti Utara Malaysia berkata, sehubungan dengan itu, generasi muda perlu sentiasa menanamkan niat dalam hati untuk menunaikan haji, walaupun belum berkemampuan kerana ALLAH menilai keikhlasan dan usaha setiap hamba-NYA.

DR ASMADI

Iklan

Pada masa sama beliau berkata, persiapan dari segi ilmu, kewangan dan rohani juga sangat penting sekiranya mereka berhasrat untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Setiap individu wajib memahami hukum dan syarat-syarat haji, serta adab ketika berada di Tanah Suci. Belajarlah secara bersemuka dengan guru bertauliah atau secara digital melalui platform yang sah dan diiktiraf. Jangan pergi haji dalam keadaan solat pun masih tidak sempurna,” katanya.

Iklan

Menyentuh tentang aspek kewangan, beliau menggalakkan golongan muda menabung secara konsisten sejak awal dan menyisihkan sebahagian daripada pendapatan ke dalam akaun Tabung Haji sebagai persiapan menunaikan ibadah tersebut.

“Jika sudah mempunyai simpanan mencukupi dan diberikan kuota, maka wajib menunaikan haji walaupun masih muda. Keutamaan adalah pada cukupnya syarat istito’ah (berkemampuan),” katanya sambil memaklumkan mengerjakan haji itu adalah wajib apabila cukup syarat, tanpa mengira usia. - Bernama