Arab Saudi enggan terima Messi di Liga Pro Saudi

Iklan
MESSI - Foto: AFP

ARAB Saudi dilaporkan telah menolak tawaran daripada Lionel Messi untuk beraksi secara jangka pendek dalam saingan Liga Pro Saudi sebelum Piala Dunia FIFA 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Mahd Sports Academy, Abdullah Hammad mendedahkan bahawa wakil Messi telah menghubunginya ketika Kejohanan Kelab Dunia bagi membincangkan kemungkinan pemain Argentina itu menyertai kelab di Arab Saudi sementara Major League Soccer (MLS) berehat panjang.

Iklan
Iklan

“Ketika Kejohanan Kelab Dunia lalu, pasukan Messi menghubungi saya dan menawarkan beliau untuk bermain di Arab Saudi kerana MLS akan berhenti hampir empat bulan.

"Dia mahu kekal cergas dan membuat persiapan menghadapi Piala Dunia 2026,” katanya.

Iklan

Cadangan itu menyerupai langkah yang pernah dilakukan David Beckham pada 2010 apabila beliau dipinjamkan ke AC Milan ketika masih bersama LA Galaxy.

Messi yang kini bersama Inter Miami menyertai kelab MLS itu pada 2023 selepas meninggalkan Paris Saint-Germain serta menolak tawaran lumayan daripada beberapa kelab Arab Saudi ketika itu.

Iklan

Bagaimanapun, menurut Hammad, selepas cadangan itu dikemukakan, Menteri Sukan Arab Saudi menolak permohonan tersebut dengan alasan liga negara itu tidak sepatutnya dijadikan 'platform persiapan' untuk kejohanan lain.

“Menteri menjelaskan bahawa Liga Pro Saudi tidak akan menjadi platform persiapan untuk mana-mana kejohanan,” katanya.

Apabila ditanya secara langsung sama ada Arab Saudi benar-benar menolak tawaran Messi itu, Hammad mengesahkan: “Benar.”

Sejak kehadiran Cristiano Ronaldo ke Al-Nassr, Liga Pro Saudi semakin menjadi tumpuan dunia dengan kemasukan bintang-bintang ternama seperti Neymar, Karim Benzema dan N’Golo Kanté. Negara itu juga kini sedang giat membuat persiapan bagi menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034, sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai kuasa baharu bola sepak global.