Garis panduan keselamatan digital akan diperkenal

Iklan
Muhammad Naim. Foto Bernama

SHAH ALAM - Satu garis panduan keselamatan digital termasuk untuk permainan dalam talian Roblox akan diperkenalkan bagi melindungi kanak-kanak.

Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Mohd Zaharin berkata, ketetapan itu adalah antara perkara yang dipersetujui hasil pertemuannya dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan wakil Roblox pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada isu keselamatan digital yang semakin membimbangkan, terutama melibatkan risiko pedofilia, buli siber, ketagihan permainan, eksploitasi dalam talian dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai akibat kurangnya pemantauan ibu bapa.

“Garis panduan keselamatan yang bersesuaian akan kita keluarkan dan pada masa yang sama, program kesedaran bagi membendung isu ini secara bersepadu juga akan dilaksanakan.

Iklan

“MESF bersama pemegang taruh juga akan mengeluarkan penjelasan mengenai bentuk permainan yang sesuai berdasarkan had umur.

“Walaupun sesetengah permainan video tidak termasuk dalam kategori sukan elektronik, MESF tetap mengambil peranan membantu mengurangkan risiko dan gejala tidak sihat dalam kalangan pemain muda,” katanya sebagaimana dilaporkan portal Free Malaysia Today (FMT).

Iklan

Pada Rabu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera parah akibat dikelar dan ditikam di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat kelmarin, telah dicederakan oleh abangnya sendiri berusia sembilan tahun akibat pengaruh permainan video dalam talian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak demikian selepas berang apabila permainan dalam talian miliknya terganggu sehingga menyebabkan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul selepas mangsa merosakkan telefon bimbit berkenaan.

Suspek juga dipercayai mengalami halusinasi pada waktu malam akibat pengaruh permainan itu dan seolah-olah diarahkan untuk mencederakan ahli keluarganya, sebelum bertindak menyerang adiknya sendiri menggunakan pisau yang terdapat di dalam rumah.

Ujar beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan keterangan daripada mangsa yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat bagi mengesahkan kejadian tersebut.