Ibu melecur, rumah dibakar anak sendiri

Iklan
Seorang warga emas melecur selepas rumahnya di Kampung Seberang Kuak Hulu di sini dibakar oleh anak lelakinya sendiri.

PENGKALAN HULU - Seorang warga emas melecur selepas rumahnya di Kampung Seberang Kuak Hulu di sini dibakar oleh anak lelakinya sendiri yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dalam kejadian awal pagi Rabu.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 1.08 pagi selepas pihak polis menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran sebuah rumah kediaman di kampung berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Superintenden Zulkepli Ibrahim berkata, mangsa berusia 69 tahun mengalami kecederaan melecur dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa dilaporkan memerlukan pembedahan segera.

Iklan

"Siasatan awal polis mendapati kebakaran tersebut berpunca daripada perbuatan khianat anak mangsa yang ketika kejadian berada dalam pengaruh dadah," katanya dalam kenyataan di sini.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 1.08 pagi selepas pihak polis menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran sebuah rumah kediaman di kampung berkenaan.

Iklan

Beliau berkata, suspek berusia 25 tahun itu telah ditahan pada jam 3.25 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dengan bantuan anggota Unit Rondaan Kereta Peronda (MPV).

Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 1 November depan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Zulkepli menambah, laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan rumah musnah, melibatkan kerosakan struktur serta barangan peribadi.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kenyataan tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan pihak polis terhadap kejadian ini," katanya.

Operasi pemadaman diketuai Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu dibantu Balai Bomba Baling, Kedah dengan kekuatan seramai 10 pegawai dan anggota.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.30 pagi.