MALANG - Seorang wanita di Malang, Jawa Timur tergamak menyuntik dadah jenis syabu ke dalam tubuh adik kandungnya berusia 17 tahun semata-mata kerana dendam terhadap ibu bapa mereka.
Suspek berusia 30 tahun, dikenali sebagai DA, melakukan perbuatan itu dengan bantuan suaminya, HL atau Koko, 28, di rumah mereka di kawasan Lawang.
Ketua Polis Daerah Malang, AKBP Danang Setiyo P S Soekarno berkata, siasatan mendapati DA menyimpan perasaan marah dan dendam terhadap ibu bapanya yang didakwa tidak pernah melayannya dengan baik.
“Suspek utama ialah kakak kandung kepada mangsa. Motifnya berpunca daripada dendam peribadi terhadap ibu bapa yang dirasakan tidak berlaku adil kepadanya. Dia mahu adiknya turut merasai penderitaan yang sama,” katanya kepada media pada Isnin.
Kejadian itu bermula apabila ibu bapa mangsa berasa pelik selepas anak mereka tidak pulang ke rumah, sedangkan sebelum itu dia dijemput kakaknya kononnya untuk keluar berjalan-jalan ke pantai pada 10 Oktober lalu. Namun, mangsa sebenarnya dibawa ke rumah pasangan terbabit di Lawang.
Setibanya di sana, HL menyiapkan picagari manakala DA melarutkan kristal syabu dan memasukkannya ke dalam alat suntikan sebelum kedua-duanya menyuntik mangsa.
Mangsa yang ketakutan cuba melawan hingga mengalami pendarahan di tangan akibat tusukan jarum, menyebabkan sebahagian besar bahan terlarang itu tidak sempat masuk ke tubuhnya.
Tidak berpuas hati, DA kemudian membeli lagi syabu bernilai sekitar 150,000 rupiah (kira-kira RM45) daripada rakannya, MVM atau Cipeng, 27.
Ketiga-tiga mereka kemudiannya memaksa mangsa menyedut asap syabu menggunakan alat yang dibuat daripada botol kaca.
“Mangsa enggan melakukannya, menyebabkan ketiga-tiga suspek akhirnya menghisap syabu itu bersama-sama sementara mangsa hanya mampu menangis ketakutan,” jelas Danang.
Hasil ujian air kencing mendapati mangsa positif mengandungi bahan amphetamine dan methamphetamine, dua komponen utama dalam dadah jenis syabu.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan di Balai Polis Malang bagi membantu siasatan lanjut.
Mereka bakal berdepan tuduhan di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak dan Akta Narkotik Indonesia, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun. - Agensi