LARANGAN merokok di tempat awam khususnya di premis makanan telah lama dikuatkuasakan di negara ini, namun tahap kepatuhan sebahagian masyarakat masih berada pada tahap yang membimbangkan.
Kejadian terbaru melibatkan seorang anggota polis yang dirakam merokok di sebuah restoran di Kluang, Johor, sekali lagi lagi menjadi perbualan hangat setelah video mengenainya tular di media sosial.
Ia sekali gus membuka mata banyak pihak bahawa peraturan atau larangan merokok di tempat awam itu masih tidak diendahkan oleh masyarakat.
Situasi itu bukan sekadar menunjukkan sikap sambil lewa segelintir individu terhadap garis panduan kesihatan awam, malah menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
Sejak larangan merokok di premis makanan mula berkuat kuasa sepenuhnya pada 2020, pihak kerajaan menegaskan peraturan ini diwujudkan bagi menjaga kesihatan masyarakat, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit kronik.
Ini kerana asap rokok bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan perokok itu sendiri, tetapi lebih membahayakan mereka yang terdedah kepada asap rokok secara pasif.
Bagaimanapun, apa yang dikesalkan adalah tahap kepatuhan yang masih rendah dalam kalangan masyarakat.
Masih ramai yang dilihat enggan mematuhi larangan merokok di tempat awam dan keadaan ini boleh dilihat di mana-mana sahaja dan kebiasaannya perbuatan merokok berlaku di premis-premis makanan.
Oleh itu, kejadian membabitkan anggota polis itu nyata memberikan mesej jelas bahawa sikap tidak menghormati larangan merokok bukan hanya dilakukan dalam kalangan orang awam; malah turut melibatkan pihak yang sepatutnya menjadi contoh dan menguatkuasakan larangan tersebut.
Ini kerana realitinya, larangan merokok adalah undang-undang yang terpakai ke atas semua pihak tanpa pengecualian termasuk pegawai kerajaan, penguat kuasa dan pemimpin masyarakat.
Tiada sesiapa memiliki ‘keistimewaan’ bagi melanggar peraturan atas nama pangkat atau kuasa yang dimiliki.
Justeru, tindakan tegas perlu diambil dan bukan sekadar nasihat atau amaran ringan. Hukuman denda serta-merta seperti yang diperuntukkan dalam peraturan perlu terus dilaksanakan bagi memastikan kepatuhan terhadap undang-undang larangan merokok di tempat awam itu benar-benar dihayati.
Pada masa sama, pemilik premis makanan juga tidak boleh berkompromi. Mereka berhak menegur dan melaporkan sebarang pelanggaran peraturan larangan merokok bagi melindungi reputasi perniagaan dan juga kepuasan pelanggan.
Selain itu, masyarakat juga memainkan peranan penting dalam memastikan undang-undang ini dipatuhi oleh semua orang.
Masyarakat juga perlu memiliki kesedaran bersama. Ia bukan hanya soal undang-undang, tetapi melibatkan rasa tanggungjawab sosial terutamanya terhadap kesihatan orang lain.
Apa pun, undang-undang ini tidak akan berkesan selagi wujud mentaliti ‘aku tak apa,’ atau lebih buruk, wujud ketidakadilan dalam pelaksanaannya.
Oleh itu, pihak penguatkuasaan harus lebih konsisten, adil dan menyeluruh dalam setiap tindakan yang dilaksanakan.
Objektifnya satu iaitu bagi memastikan masyarakat faham premis makanan merupakan zon yang perlu dihormati kerana ia menjadi tempat keluarga berkumpul untuk makan serta berehat dan bukannya menjadi ruang bebas bagi menghembus asap rokok.
Justeru kes tular di Kluang, wajar menjadi pengajaran. Jika anggota polis pun boleh dikenakan tindakan kerana melanggar undang-undang ini, ia menegaskan satu perkara asas iaitu larangan merokok di tempat awam bukanlah suka-suka.
Ia menuntut komitmen menyeluruh terhadap kesihatan awam. Oleh sebab itu, setiap pihak wajib mematuhinya demi kepentingan bersama.
Oleh itu, kejadian di Kluang seharusnya menjadi peringatan tegas kepada semua pihak bahawa undang-undang bukannya satu pilihan atau nasihat kesihatan yang boleh diabaikan.
Apabila pihak yang berada di barisan depan penguatkuasaan turut didenda kerana melanggar peraturan ini, maka mesej yang sampai kepada masyarakat adalah jelas iaitu larangan merokok di tempat awam perlu dipatuhi oleh semua, tanpa kecuali.
*Shahrizal Ahmad Zaini ialah wartawan Sinar Harian Johor