Definisi, ketetapan mengenai buli perlu lebih jelas

Iklan
Mohd Imran

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mewujudkan definisi atau ketetapan jelas mengenai buli bagi membolehkan pentadbir sekolah mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku insiden membabitkan perbuatan tidak bermoral itu.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, usaha berkenaan penting bagi membuktikan ketegasan sektor pendidikan negara terhadap isu yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar sekolah ketika ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KPM juga boleh meneliti atau mengambil contoh ketegasan dibuat Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang tidak akan berkompromi terhadap sebarang kes buli melibatkan institusi di bawah naungannya.

"Saya ingat dalam sektor pendidikan (di bawah KPM) juga perlu ada ketegasan di peringkat pentadbir sekolah sebagai contoh apa yang dilaksanakan oleh Mara. Mara menetapkan polisi you touch you go (anda buli, anda akan disingkir).

Iklan

"Melalui ketegasan itu, ia akan memberi sedikit ketakutan kepada pembuli atau siapa yang terlibat bahawa akan ada tindakan keras yang akan diambil terhadap mereka," katanya selaku panel Program Meja Bulat: Adakah Pendidikan Kita Dalam Krisis anjuran Sinar Harian.

Mengulas lanjut mengenai cadangan ketegasan oleh pihak pentadbir sekolah terhadap kes buli, Mohd Imran berkata, pelaksanaan itu bagaimanapun perlu dibuat secara teratur dan baik.

Iklan

Selain itu katanya, KPM juga boleh meneliti usaha yang diambil Mara dalam mengurangkan beban guru termasuk melantik warden sepenuh masa bagi memastikan kes buli dapat dibendung dengan lebih menyeluruh.

Dalam pada itu, menjawab pendirian beliau terhadap cadangan untuk mewujudkan subjek Pendidikan Karakter mulai tahun hadapan sebagai langkah memperkukuh pembentukan sahsiah dan keperibadian murid, beliau melihat tiada keperluan untuk mewujudkan subjek itu secara khusus.

Sebaliknya, Mohd Imran menegaskan, adalah mencukupi pendidikan tersebut dimasukkan dalam silibus sedia ada.

"Saya setuju untuk perkenalkan Pendidikan Karakter tetapi bukan dalam bentuk subjek berasingan. Mungkin boleh bawa masuk dalam silibus sedia ada untuk perkemaskan lagi usaha membentuk sahsiah dan jati diri muri-murid atau pelajar ini," jelasnya.

Mengulas mengenai sistem pendidikan negara ketika ini, beliau berpandangan dasar atau polisi sedia ada adalah baik namun memerlukan beberapa penambahbaikan.

Ujarnya, antara perkara yang perlu ditambah baik adalah dalam aspek pelaksanaan agar sesuai dengan keadaan semasa.