Saksi dakwa Zara Qairina mengaku ambil barang pelajar lain

Iklan
Pasukan peguam ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Saksi ke-33 inkues kematian Zara Qairina Mahathir mendakwa bahawa pelajar Tingkatan Satu itu pernah mengaku kepadanya mengambil beberapa barangan milik pelajar lain termasuk anak tudung dan botol air di asrama sekolah mereka.

Saksi yang merupakan kanak-kanak ke-24 memberi keterangannya secara in camera di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner di sini, pada Selasa.

Iklan
Iklan

Peguam Joan Goh berkata, saksi merupakan rakan rapat Zara Qairina dan mereka sering tidur bersama di dorm yang sama.

“Sepanjang bersekolah dan tinggal di asrama, setiap kali berlaku kehilangan barang seperti botol air atau anak tudung di surau atau di bilik asrama, kebanyakannya dilakukan oleh Zara Qairina. Setiap kali dia mengambil barang-barang tersebut, dia akan memberitahu saksi.

Iklan

“Saksi pernah bertanya kepada Zara mengapa mengambil barang orang lain, namun Zara menjawab, ‘Diorang tidak mahu pakai, jadi aku ambillah’,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Menurut Joan, saksi juga memaklumkan bahawa dua minggu sebelum kejadian, Zara berkelakuan pelik dan tidak melayannya seperti biasa.

Iklan

“Dia melihat Zara bertindak aneh, antaranya menulis diari di surau sambil memarahi atau memaki sesuatu.

“Saksi turut mengenal pasti tiga buah diari yang dikatakan milik Zara — Eksibit 24, 25 dan 80. Eksibit 80 ialah diari bertajuk Love and Peace. Saksi mengesahkan bahawa Zara pernah memberitahunya dia mengambil barang pelajar lain seperti anak tudung dan botol air,” katanya.

Sementara itu, rakan peguamnya, Datuk Ram Singh, berkata saksi turut memberitahu mahkamah bahawa dia sering mendengar Zara meluahkan kata-kata berunsur putus asa dan membayangkan untuk terjun dari tingkat tiga bangunan.

“Menurut saksi, Zara pernah berkata, ‘Apa rasanya kalau terjun dari aras tiga?’ dan kadang-kadang dia akan cakap, ‘Bagus kalau saya mati lah. Kalau saya mati, ada orang kisah kah?’

“Mereka adalah rakan baik yang sering berbual bersama,” jelasnya sambil menambah bahawa beberapa saksi lain turut memberi keterangan mengenai perkara sama.

Joan dan Ram mewakili salah seorang daripada lima pelajar yang dikaitkan dalam kes berkaitan Zara Qairina dan menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.