KUALA LUMPUR - New Zealand akan meningkatkan eksport daging halal yang selamat dan terjamin ke Malaysia susulan pertukaran nota Aturan Pelaksanaan Halal (HIA) yang dipertingkatkan dengan Malaysia hari ini.
Perdana Menteri, Christopher Luxon berkata, New Zealand juga akan terus menjadi rakan yang dipercayai bagi Malaysia dengan memastikan rantaian bekalan negara itu kekal terbuka.
"(Kami akan) menggunakan peraturan yang telus dan menyelesaikan sebarang isu dengan cepat apabila ia timbul.
"Penetapan yang lebih mudah, komunikasi yang kukuh dan pengawasan kawal selia yang berkesan merupakan contoh praktikal bagaimana kita akan membina keyakinan bersama,” katanya ketika berucap pada acara Diplomasi Halal di sini hari ini.
Luxon berkata, New Zealand akan menyokong usaha itu melalui logistik berpandukan data serta mempercepatkan pelepasan kastam yang lebih bersih bagi pengendali berintegriti tinggi di bawah Aturan Pengiktirafan Bersama Kastam yang dimeterai baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, Luxon berkata, New Zealand akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan standard dan jaminan halalnya melalui HIA, yang akan menyediakan garis panduan lebih jelas dan konsisten kepada penggiat industri halal negara itu dari segi pendaftaran, dokumentasi, pemprosesan, pelabelan dan penyimpanan.
Beliau berkata, New Zealand juga komited untuk mempelbagaikan serta memperkembangkan produk halalnya melalui HIA, selain memanfaatkan rangka kerja perdagangan Malaysia-New Zealand, termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, bagi membuka pasaran baharu untuk perniagaan di kedua-dua negara.
Susulan pertukaran nota HIA hari ini, New Zealand menjangkakan daya tahan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi bagi produk halalnya, kata Luxon.
Terdahulu, Luxon dan Ahmad Zahid menyaksikan pertukaran nota HIA antara Malaysia dan New Zealand.
Pertukaran itu dilakukan antara Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysi, Mike Walsh.
Pada September 2024, kedua-dua negara mengumumkan komitmen untuk meningkatkan perdagangan dua hala sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya mengalu-alukan kesediaan New Zealand untuk menyertai Majlis Halal ASEAN yang akan ditubuhkan tidak lama lagi, sekali gus menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam industri halal global.
Ahmad Zahid berkata, industri halal tidak terhad kepada sempadan agama, tetapi mencerminkan nilai sejagat seperti kepercayaan, ketelusan dan akauntabiliti yang menghubungkan masyarakat pelbagai bangsa dan agama.
"Saya berbesar hati mengetahui kesediaan New Zealand untuk menyertai Majlis Halal ASEAN, sebuah platform yang akan menyelaraskan piawaian serta memperkukuh daya saing di peringkat global.
"Halal bukan hanya untuk umat Islam, ia melambangkan standard tertinggi dari segi kualiti, keselamatan dan integriti dalam pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, perbankan, insurans, kosmetik serta farmaseutikal,” katanya.
Beliau berkata, rantau ASEAN yang mempunyai hampir 700 juta penduduk mewakili pasaran halal yang besar, dan Malaysia berhasrat untuk menjadi pintu masuk halal ke ASEAN dengan New Zealand sebagai rakan strategik yang dipercayai.
Ahmad Zahid turut menggesa New Zealand agar menganggap Malaysia sebagai rakan strategik -bukan sahaja dalam pembangunan industri halal tetapi juga dalam kerjasama yang lebih luas untuk menangani cabaran serantau dan global. - Bernama